Tiada Satu Sen Duit Kerajaan Atau Rakyat Dana Yayasan Akalbudi – Zahid Hamidi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa tiada satu sen dana Yayasan Akalbudi datangnya daripada kerajaan atau rakyat, sebaliknya wang puluhan juta ringgit dalam yayasan itu adalah miliknya.

Ahmad Zahid, 69, berkata sumber dana yayasan tersebut adalah daripada lebihan pendapatannya ketika beliau membabitkan diri dalam sektor korporat sebelum menjawat jawatan sebagai anggota pentadbiran.

“Sebelum saya menganggotai pentadbiran iaitu timbalan menteri, menteri atau timbalan perdana menteri, saya telah menjalankan urus niaga korporat, saya pernah mengetuai empat syarikat yang tersenarai di Bursa Kuala Lumpur, saya juga pernah menjadi Pengerusi Bank Simpanan Nasional.

“Memang terdapat beberapa sumbangan daripada  rakan dan ahli perniagaan yang tiada kena mengena dengan portfolio yang saya pegang, namun tidak ada satu sen pun yang datang dari sumbangan kerajaan atau wang rakyat atau pembayar cukai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika disoal peguamnya Datuk Ahmad Zaidi Zainal pada hari ketiga prosiding membela diri atas 47 pertuduhan membabitkan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata pendapatan dan elaun sebagai ketua pegawai eksekutif, pengerusi eksekutif dan pengerusi dalam syarikat korporat melebihi perbelanjaan dan keperluan keluarganya.

“Maka saya berazam atas nasihat bapa saya yang juga seorang mudir atau pengetua sekolah agama di Bagan Datuk untuk menyalurkan lebihan pendapatan saya itu kepada orang yang memerlukan melalui amal jariah, sedekah, infak, wakaf bagi tujuan kebajikan dan keagamaan dalam Yayasan Akalbudi.

“Dana Yayasan Akalbudi adalah daripada pendapatan peribadi saya serta elaun yang saya peroleh daripada aktiviti urus niaga korporat berkenaan,” jelasnya.

Selain itu, Ahmad Zahid berkata beliau memperoleh dividen daripada syarikat berkenaan untuk dimasukkan dalam tabung yayasan dan menjalankan urus niaga pasaran saham sama ada dalam saham blue chip atau saham disenaraikan dan saham tawaran permulaan awam (IPO) bagi memperoleh pendapatan.

Ahmad Zahid berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya melibatkan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram, membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Pada 24 Jan lepas, mahkamah memerintahkan Ahmad Zahid membela diri terhadap kesemua pertuduhan selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.

Perbicaraan sedang berlangsung di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

— BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,590FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat