Semua negeri kena tanam bijirin, segera- DAP

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan seharusnya bertindak segera dengan melibatkan semua kerajaan negeri untuk menyediakan tapak tanah secara besar-besaran dengan secepat mungkin untuk tujuan penanaman bijirin untuk mengurangkan kebergantungan kepada import, cadang Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook.

Menurut beliau, isu bekalan ayam terputus yang berlaku beberapa hari ini di seluruh negara tidak seharusnya berlaku dan kegagalan kerajaan menangani isu ini tidak boleh diterima sama sekali.

“Kekurangan bekalan ayam dipercayai berpunca daripada pengeluaran yang berkurangan daripada penternak disebabkan tekanan kos dedak ayam yang terlalu tinggi.

“Memandangkan ayam merupakan sumber makanan utama kepada semua lapisan masyarakat di kalangan rakyat Malaysia, kerajaan perlu bertindak segera untuk memastikan bekalan ayam di pasaran sentiasa mencukupi dengan menyelesaikan masalah tekanan kos di kalangan penternak dengan segera,” kata Ahli Parlimen Seremban itu dalam kenyataan pada Isnin.

DAP berpendirian bahawa dasar menetapkan harga siling untuk ayam sebagai barang kawalan perlu diteruskan memandangkan masalah kos sara hidup yang semakin tinggi merupakan tekanan hidup yang paling besar untuk kebanyakan rakyat Malaysia, katanya.

Namun ujar Anthony, pada masa yang sama, kerajaan juga perlu memastikan penternak dan seluruh rantaian bekalan ayam tidak mengalami kerugian dengan melaksanakan bantuan subsidi yang mencukupi dan mampu menampung kenaikan kos yang luar biasa.

“Walaupun Kementerian Pertanian dan Industri Makanan telah menyediakan peruntukan RM528.52 juta untuk pemberian subsidi RM0.60 sen/sekilogram, kadar ini perlu disemak semula selari dengan tekanan kos dedak yang terlalu tinggi.

“Bantuan subsidi juga perlu dilaksanakan tanpa karenah birokrasi dan disalurkan kepada penternak dengan segera,” jelas beliau.

Tambah beliau lagi, keputusan kerajaan untuk membatalkan syarat AP untuk mengimport bahan makanan bukan merupakan formula “silver bullet” yang akan menyelesaikan masalah kenaikan harga barang makanan dan memastikan bekalan tidak terputus.

“Ia perlu difahami bahawa setiap negara sedang bergelut dengan masalah keselamatan makanan domestik masing-masing dan negara-negara pengeluar utama akan memberikan tumpuan kepada keperluan mereka sendiri terlebih dahulu.

“Tambahan pula, dengan nilai matawang ringgit yang lemah, maka sebarang import makanan daripada negara lain melibatkan harga belian yang lebih tinggi,” kata Anthony.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat