Betulkan Segera Naratif Kerajaan

- Advertisement -

Oleh Ab Jalil Backer

Kaji selidik yang dijalankan oleh firma O2 Malaysia mendapati sokongan pengundi terhadap kepimpinan Muhyiddin Yassin merosot kepada 51% pada suku pertama tahun ini berbanding 66% pada suku kedua tahun lalu.

Kejatuhan populariti Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana kerajaan hari ini telah dihujani dengan pelbagai isu dan masalah persepsi.

Malahan jika dilihat kepada trend media sosial sahaja, populariti Muhyiddin mungkin jauh lebih teruk merosot berbanding dapatan kaji selidik ini.

Kejatuhan populariti Muhyiddin ini banyak berkait dengan kegagalan naratif kerajaan untuk mengurangkan tekanan perasaan rakyat berhadapan pandemik covid-19 yang tidak padam-padam.

Dalam hal ekonomi dan perniagaan, kerajaan gagal menyampaikan bahawa perubahan-perubahan Amalan Operasi Standard (SOP) mengikut penularan jangkitan Covid-19 adalah perkara biasa di negara-negara maju lain.

Langsung rakyat melihat perubahan-perubahan SOP Kerajaan dari semasa ke semasa adalah keputusan flip-flop yang tiada hala tuju. Tidak ada usaha secara bersungguh kerajaan memberitahu rakyat ini adalah realiti di kebanyakan negara maju juga.

Bagaimanapun rakyat tidak salah sepenuhnya kerana kerajaan sendiri seolah-olah suka menakutkan rakyat dan memberi gambaran yang negatif mengenai pandemik ini. Walaupun kerajaan berniat baik untuk memastikan rakyat mengikuti SOP dan akhirnya mengurangkan kadar kebolehjangkitan Covid-19, namun ia akhirnya menjadi senjata makan tuan.

Setiap hari selama hampir enam bulan terakhir ini rakyat dihidangkan dengan ancaman kenaikan jumlah jangkitan yang boleh melumpuhkan kesihatan negara dan membebankan petugas kesihatan.

Sejak angka jangkitan harian seribu kita ditakutkan dengan kelumpuhan sistem kesihatan negara. Saranan-saranan supaya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh dibuat oleh pelbagai pihak yang prihatin dan juga yang mahu mengambil kesempatan meraih populariti melalui ketakutan rakyat.

Dari angka jangkitan harian beratus orang, kemudian seribu, dua ribu, tiga ribu, empat ribu, lima ribu dan sekarang enam ribu, rakyat dihidangkan dengan mantera sama.

Sekarang rakyat dihidang pula dengan dokumentari-dokumentari cerita sedih yang seolah-olah memberi gambaran mengenai kegagalan sistem kesihatan kita.

Lucunya, dalam masa yang sama kerajaan pula bertindak bertentangan dengan ketakutan tadi dengan membenarkan kebanyakan sektor ekonomi beroperasi. Justeru rakyat jadi keliru bila sistem kesihatan kita akan lumpuh. Bilakah akan dilaksanakan PKP penuh?

Ketidaktentuan ini mengundang rakyat menjadi sinis dan nihilis. Rakyat menjadi meluat berada dalam ketidaktentuan. Setelah menakutkan rakyat dengan angka setiap hari, kerajaan tidak pula mahu melaksanakan PKP penuh dengan pelbagai alasan.

Pada hemat saya kerajaan perlu tahu di mana hala tuju mereka. Jika hala tuju ke arah tiada PKP penuh, maka naratif harus tidak menakutkan rakyat. Rakyat mesti diyakinkan dengan kemampuan fasiliti perubatan negara.

Setelah setahun pandemik Covid-19 melanda, kerajaan sepatutnya telah ada tanda aras automatik untuk pelaksanaan PKP ini. Berapa angka sebenar terserah kepada kemampuan fasiliti kesihatan kita yang kerajaan sahaja tahu.

Namun kita boleh buat tanda aras seperti apabila kadar jangkitan harian mencecah 1000 orang selama 3 hari berturut, maka secara otomatik PKP Rentas Negeri dilaksanakan sehingga angka tersebut tersebut menurun.

Kemudian apabila angka jangkitan harian mencecah 3000 orang selama 3 hari berturut, secara otomatik PKP Sosial dan Rentas Daerah dilaksanakan. Apabila jumlah meningkat 5000 orang sehari selama tiga hari berturut-turut, PKP Ekonomi pula diaktifkan. Apabila angka jangkitan harian mencecah 10,000 maka kita laksanakan PKP penuh.

PKP-PKP ini juga perlu ada SOP yang jelas dan standard. Tidak perlu lagi setiap kali pengumuman PKP rakyat menunggu pula SOP yang bakal dikeluarkan. Bila dikeluarkan SOP ada pula perubahan dan penambahan beberapa hari kemudian.

Walaupun diakui tiada kepastian dalam pandemik ini, namun kerajaan harus menunjukkan mereka cuba menguruskan sebaik mungkin.

Jika ada tanda aras sebegini, rakyat sudah dapat gambaran kesiapsiagaan dan perancangan kerajaan. Sekarang rakyat dan kerajaan berbalah kerana kerajaan gagal menyediakan tanda aras dan membenarkan penentang-penentangnya mengambil kesempatan.

Pilihan ditangan kerajaan sama ada mahu memulihkan imej mereka atau terus beraksi seperti merak di kayangan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat