KUALA LUMPUR – Datuk Dr Akmal Saleh memberi pencerahan bahawa Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak pernah sesekali bertitah menghalang rakyat bukan Islam daripada memakan babi.
Sebaliknya kata Akmal, Sultan Sharafuddin hanya tidak membenarkan penternakan babi di Selangor dan sebaiknya bekalan babi diimport dari luar.
“Tuanku Sultan Selangor sudah bertitah tidak berkenan untuk penternakan babi. Bukan menghalang daripada nak makan babi.
“Nak makan, maka importlah babi tu wahai YB DAP.
“Apa yang sampai nak menderhaka pada titah Sultan Selangor ni? soal Ketua Pemuda Umno itu dalam hantaran di Facebooknya.
Beliau bahkan mencadangkan ladang penternakan babi diusahakan di kawasan majoriti pemakan haiwan itu.
“Apa kata ternak babi yang dikatakan baik tu di kawasan majoriti orang yang makan babi tersebut?
“Kalau setuju jadikan kawasan rumah YB dahulu sebagai projek permulaan. Simple,” cadang Akmal.
Semalam, Adun Seri Kembangan Wong Siew Ki memohon pertimbangan supaya penternakan babi dibenarkan di Selangor.
Menurut Siew Ki dari DAP itu, penternakan babi sepatutnya tidak dibezakan dengan penternakan haiwan lain kerana haiwan lain juga menghasilkan risiko pencemaran dan kesihatan yang sama.
“Mengenai isu penternakan babi, dalam titah ucapan Tuanku, Seri Kembangan memohon ‘Ampun Tuanku’ menyembah bahawa isu ini menyentuh hak kesamarataan warganegara yang terjamin di bawah Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan.
“Penternakan babi tidak seharusnya dibezakan dengan penternakan haiwan yang lain.
“Risiko pencemaran, aspek kebersihan serta kesihatan dalam penternakan babi adalah sama seperti penternakan haiwan yang lain,” katanya dalam perbahasan menjunjung kasih titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).
Siew Ki berkata, isu babi telah dijadikan sebagai isu politik yang dimainkan pelbagai pihak termasuk ahli politik.



