Boleh pilih 3 syarikat minyak dalam MySubsidi Diesel – Armizan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju menambah bilangan pilihan daripada dua kepada tiga syarikat pembekal minyak menerusi sistem MySubsidi Diesel berkuat kuasa serta-merta.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali, berkata keputusan itu dibuat dengan mengambil kira pandangan dan maklum balas daripada syarikat pembekal minyak serta industri pengangkutan.

“Kita bersetuju untuk mempertimbangkan rayuan, kalau sebelum ini syarikat pengangkutan barangan dihadkan untuk mempunyai pilihan dua syarikat pembekal minyak (ketika mendaftar MySubsidi Diesel).

“Kita putuskan atas rayuan terbabit, kita akan beri opsyen tambahan iaitu boleh memilih tiga daripada lima syarikat pembekal minyak yang ditetapkan,” katanya di Putrajaya yang turut dihadiri timbalannya, Fuziah Salleh.

Terdahulu, Armizan mengadakan libat urus bersama industri pengangkutan dan syarikat pembekal minyak bagi mendapatkan kerjasama daripada ahli persatuan pengangkutan darat.

Ia bertujuan menyegerakan permohonan kad fleet dengan syarikat minyak terpilih untuk memastikan syarikat kenderaan pengangkutan barangan dapat menikmati subsidi yang disediakan kerajaan apabila penyasaran dilaksanakan kelak.

Dalam pada itu, Armizan menggesa pengusaha pengangkutan barangan supaya segera memohon untuk mendapatkan kad fleet terbabit.

Jelasnya, ramai yang sudah mendaftar melalui sistem MySubsidi Diesel, namun masih ada yang mengambil keputusan tunggu dan lihat dalam permohonan mendapatkan kad fleet terbabit.

“Dalam sesi libat urus tadi, persatuan yang terkait dengan sektor ini membuat komitmen mereka untuk membuat hebahan dan galakkan kepada ahli mereka supaya terus memohon mendapatkan kad fleet sebaik sahaja mendaftar dalam MySubsidi Diesel.

“Ini kerana mereka yang mendaftar dalam sistem MySubsidi Diesel, akan terus menerima kelulusan segera sekiranya semua dokumen yang diperlukan adalah lengkap manakala permohonan untuk mendapatkan kad fleet (dengan syarikat pembekal minyak) mengambil masa yang sedikit lama,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga sudah mengarahkan syarikat pembekal minyak supaya bersedia dan menambah jumlah tempahan kad fleet mereka sebelum menerima tambahan permohonan kelak.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat