HARTFORD, CONNECTICUT – Seorang remaja berusia 19 tahun dari Connecticut telah mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas sekolah menengahnya kerana didakwa gagal memberikan pendidikan yang sewajarnya, walaupun dia berjaya menamatkan persekolahan dengan pencapaian cemerlang.
Aleysha Ortiz, yang menamatkan pengajian di Hartford Public High School dengan kepujian pada bulan Jun lalu, kini menyaman sekolah tersebut atas dakwaan kecuaian yang menyebabkan tekanan emosi. Menurut Aleysha, walaupun menerima penghormatan akademik dan biasiswa ke universiti, dia sebenarnya buta huruf dan mengalami kesukaran memegang pensil.
Dilahirkan di Puerto Rico, Aleysha telah menunjukkan tanda-tanda kesukaran belajar sejak kecil. Apabila berpindah ke Amerika Syarikat pada usia lima tahun, masalahnya berterusan. Dia mendakwa bahawa pihak sekolah serta guru pendidikan khas yang ditugaskan untuk membantunya tidak memberikan bantuan sewajarnya sehingga sebulan sebelum tamat pengajian. Ketika itu, ujian tambahan akhirnya dilakukan dan barulah pihak sekolah menyedari bahawa dia hampir tidak tahu membaca.
Pihak sekolah kemudian menawarkan pilihan untuk menangguhkan penerimaan diploma bagi membolehkannya mendapatkan bantuan pendidikan intensif. Namun, Aleysha menolak tawaran tersebut.
“Saya membuat keputusan, mereka sudah ada 12 tahun untuk membantu saya, sekarang ini giliran saya,” kata Ortiz kepada CNN.
Namun, bagaimana seorang pelajar yang buta huruf boleh menamatkan pengajian dengan kepujian dan diterima masuk ke University of Connecticut? Menurut Aleysha, teknologi moden membantunya dalam proses pembelajaran. Dia bergantung kepada aplikasi telefon pintar yang boleh menukar teks kepada suara dan sebaliknya, malah menggunakannya untuk mengisi borang permohonan universiti dan menulis esei kemasukan.
Bagaimanapun, kehidupan sebagai pelajar universiti lebih mencabar. Aleysha mengakui bahawa dia menghadapi kesukaran dan berhenti menghadiri kelas pada awal Februari. Dia mahu mengambil masa untuk mendapatkan rawatan kesihatan mental tetapi berharap dapat kembali ke kelas tidak lama lagi.
Aleysha memfailkan saman ini kerana mahu pihak sekolah bertanggungjawab atas apa yang telah berlaku kepadanya. Dia mendakwa bahawa pihak sekolah “tidak tahu apa yang mereka lakukan dan tidak peduli”, dan berharap perjuangan undang-undangnya dapat mengelakkan pelajar lain daripada mengalami perkara yang sama.
“Saya seorang yang sangat bersemangat dan suka belajar,” kata Ortiz. “Tapi peluang untuk saya belajar telah dirampas. Sekarang saya berada di universiti dan saya mahu manfaatkan peluang ini kerana ini adalah masa depan saya.”