CYBERJAYA: Perdana Menteri, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakub berkata, selepas dua tahun berhadapan dengan pandemik COVID-19, Malaysia kini sedang menuju fasa peralihan ke endemik bermula 1 April 2022. Pandemik ini telah mengakibatkan ekonomi negara terjejas, perniagaan tidak dapat beroperasi sebaiknya, ramai yang kehilangan pekerjaan hingga menyebabkan ada yang terjerumus dalam kelompok kemiskinan.

Pandemik COVID-19 telah menyedarkan semua pihak tentang kelemahan sistem perlindungan sosial kebanyakan negara di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Justeru katanya, memetik satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, Kerajaan menerusi Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MySPC) telah mengenal pasti mekanisme perlindungan sosial yang lebih dinamik, fleksibel serta mampu bertindak balas dengan sebarang risiko yang dihadapi oleh Keluarga Malaysia.

Mesyuarat MySPC Bilangan 1 Tahun 2022 pada hari ini telah bersetuju mengambil tindakan berikut:

(i) Memperkasakan agenda perlindungan sosial sehingga keperingkat daerah pentadbiran menerusi Jawatankuasa Teknikal Perlindungan Sosial Negeri (JTPSNg) bagi menyelaras Pemetaan Program dan Profil Perlindungan Sosial Fasa 2.

(ii) Meningkatkan tahap sosioekonomi Keluarga Malaysia denganmemberi nilai tambah dan tumpuan kepada Program Peningkatan Pendapatan kepada Ketua Isi Rumah (KIR) Miskin dan Miskin Tegar yang berdaftar dalam eKasih.

(iii) Kerajaan akan menyediakan Pelan Perlindungan Insurans kepada Isi Rumah (IR) Miskin yang kehilangan punca pendapatan akibat kematian KIR melibatkan kira-kira 268,000 keluarga miskin yang berdaftar dalam eKasih. Setiap IR akan menerima RM10,000 dengan peruntukan sebanyak RM13.4 juta setahun.

(iv) Malaysia Productivity Corporation (MPC) diberi tanggungjawab menerajui Jawatankuasa Kerja Memodenkan Subsidi Bagi
Meningkatkan Produktiviti.

MySPC pada hari ini melancarkan Pangkalan Data Perlindungan Sosial (PDPS) Fasa 1: Bantuan Sosial (Persekutuan) melibatkan 167 program daripada 17 kementerian/agensi yang mengandungi 13.7 juta data profil individu penerima manfaat sehingga tahun 2020 dan program-program perlindungan sosial merentasi pelbagai kementerian/ agensi yang terlibat.

PDPS ini akan menjadi single gateway serta sumber rujukan utama program-program perlindungan sosial yang meliputi elemen Pekerjaan,
Insurans Sosial dan Bantuan Sosial. Akses penuh sistem ini kepada orang awam dan semua pihak berkepentingan akan dibuka setelah
Modul Insurans Sosial dan Intervensi Pasaran Buruh siap dibangunkan selepas tahun 2023.

Langkah-langkah yang diputuskan dalam mesyuarat ini akan membantu untuk memantapkan agenda perlindungan sosial untuk mencapai miskin tegar sifar menjelang tahun 2025 yang dihasratkan oleh Kerajaan dalam Rancangan Malaysia ke-12.