Sultan Selangor Larang Penggunaan Kalimah Allah Dalam Kitab Bible

- Advertisement -

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, penggunaan kalimah Allah dalam kitab Bible (terjemahan Bahasa Melayu) atau percetakan buku dan tulisan agama Kristian dalam jua bentuk yang mengandungi kalimah Allah tetap dilarang sama sekali di negeri ini.

Titah Sultan Sharafuddin, kalimah Allah ialah suatu kalimah suci umat Islam dan hanya boleh digunakan untuk merujuk kepada tuhan yang maha esa yang mempunyai sifat-sifat kesempurnaan.

Baginda bertitah, kalimah Allah sama sekali tidak boleh diletakkan di tempat yang salah atau digunakan selain daripada maksud tuhan yang maha esa yang menjadi asas pegangan akidah umat Islam.

Titah baginda, penegasan itu juga adalah selaras dengan keputusan Mahkamah Persekutuan di dalam kes Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur melawan Menteri Dalam Negeri pada 2014 dan fatwa yang diwartakan di negeri Selangor pada 18 Februari 2010 yang menyatakan bahawa kalimah Allah tidak boleh digunakan atau disamakan dengan tuhan bagi agama-agama bukan Islam yang lain.

“Adalah menjadi kewajipan bagi orang Islam untuk menyekat penggunaan kalimah Allah jika terdapat unsur-unsur penyalahgunaan atau penghinaan terhadap kalimah Allah tersebut.

“Beta menegaskan bahawa adalah menjadi tanggungjawab semua umat Islam terutamanya umat Islam di negeri Selangor untuk menjaga kesucian kalimah Allah pada setiap masa dan di dalam apa jua keadaan sekalipun.

“Namun, sekiranya perkataan “tuhan” digunakan sebagai terjemahan kepada perkataan “god”, beta tiada halangan atas penggunaan perkataan “tuhan” tersebut,” titah baginda menerusi Facebook rasmi Selangor Royal Office hari ini.

Dalam pada itu, Sultan Selangor turut menitahkan agar semua rakyat yang bukan beragama Islam di negeri ini sentiasa akur dan mematuhi larangan penggunaan kalimah Allah seperti mana yang diperuntukkan di bawah Enakmen Ugama Bukan Islam (Pengawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam, 1988) yang telah diwartakan pada 7 Julai 1988.

Titah baginda, ini termasuklah larangan penggunaan beberapa perkataan lain yang termaktub di bawah Enakmen Ugama Bukan Islam ini bagi tujuan komersial dan menamakan tempat-tempat perniagaan atau bangunan.

Titahnya, sebagai Ketua Agama Islam Selangor, baginda tetap akan mempertahankan kesucian kalimah Allah ini kerana memelihara kesucian kalimah Allah ini adalah menjadi tuntutan agama dan tanggungjawab baginda.

“Apa gunanya beta menjadi ketua Agama Islam jika gagal untuk menjamin kemuliaan kalimah Allah dan kesucian Agama Islam dari dicemari oleh pihak yang mempunyai agenda tersendiri.

“Beta sentiasa menekankan agar rakyat dapat menghormati kepercayaan agama masing-masing dan tidak cuba untuk menyentuh sensitiviti agama masing-masing yang boleh merosakkan perpaduan kaum di Selangor.

“Jika umat Islam boleh menghormati penganut agama lain dengan tidak mencampuri urusan berkaitan agama mereka maka beta juga menggesa agar penganut agama selain daripada Islam untuk menghormati penganut agama Islam khususnya dalam penggunaan kalimah Allah yang menjadi pegangan utama umat Islam,” titah baginda.

Dalam perkembangan sama, Sultan Sharafuddin yang berkesempatan untuk membaca titah yang Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan menyokong penuh titah Sultan Johor yang meminta kerajaan Persekutuan untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi tersebut.

“Beta juga menitahkan agar Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) untuk memohon kepada mahkamah sebagai pihak pencelah dalam rayuan tersebut.

“Malah, beta juga menyeru agar perkara yang sama dilaksanakan oleh Majlis Agama Islam Negeri lain (MAIN) bagi memelihara kemuliaan kalimah Allah dan kesucian agama Islam,” titahnya. – Utusan

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat