146 Terima Pingat Wilayah Persekutuan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah telah mengurniakan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan (DKBPWP) kepada 146 penerima.

Kurnia itu dianugerahi pada Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan DKBPWP (Sesi Pertama) yang berlangsung di Istana Negara, hari ini.
 
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, istiadat DKBPWP yang dijadualkan berlangsung pada 1 Februari 2021 lepas terpaksa ditunda dengan mengambil kira situasi semasa pandemik Covid-19 dan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikeluarkan Kerajaan ketika itu.

“Pelaksanaan DKBPWP pada hari ini diadakan dengan mengikut Garis Panduan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat seperti mana ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Istana Negara.
 
“Mendahului penerima DKBPWP dalam senarai, ialah penerima Darjah Kebesaran Seri Utama Mahkota Wilayah (S.U.M.W.) iaitu Menteri Kewangan, Senator Datuk Seri Utama Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Utama Wan Rosdy Wan Ismail.
 
“Sesi Pertama Istiadat ini turut menyaksikan seramai 15 individu dianugerahi Darjah Kebesaran Seri Mahkota Wilayah (S.M.W.) yang membawa gelaran Datuk Seri. Sementara itu, 41 individu telah dianugerahi Darjah Kebesaran Panglima Mahkota Wilayah (P.M.W.), 22 individu dianugerahi Darjah Kebesaran Johan Mahkota Wilayah (J.M.W.), 27 individu dianugerahi Darjah Kebesaran Kesatria Mahkota Wilayah (K.M.W.), 12 individu dianugerahi Darjah Kebesaran Ahli Mahkota Wilayah (A.M.W.) dan 27 individu dianugerahi Darjah Kebesaran Pingat Pangkuan Mahkota Wilayah (P.P.W.),” katanya.
 
Selain itu, kata Annuar, DKBPWP telah juga dikurniakan kepada anggota barisan hadapan yang banyak menabur bakti kepada negara dan bertungkus lumus berusaha menangani penularan wabak Covid-19.

“Mereka yang mewakili anggota barisan hadapan pasukan kesihatan antaranya ialah Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Awam, Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk. Dr. Chong Chee Keong, Pengarah Hospital Kuala Lumpur, Datuk Dr. Heric Corray a/l Soloman Corray, dan Pengarah Kesihatan Negeri, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Datuk Dr. Param Jeeth Singh a/l Pakar Singh.
 
“Tidak ketinggalan, anggota barisan hadapan agensi lain iaitu Agensi Pengurusan Bencana Negara, Mohd Fadhil Muhamad Yusof dan Amaluddin Suib telah dianugerahi   Darjah Kebesaran Johan Mahkota Wilayah (J.M.W.). Selain mereka, Lt. Kol. Mohammad Asri Che Wil dari Angkatan Tentera Malaysia dan Kol. Mohd Kamil Hj Abdul Latiff dari Kementerian Pertahanan dianugerahi Darjah Kebesaran Kesatria Mahkota Wilayah (K.M.W.),” jelas beliau.

Kata Annuar lagi, bagi mengiktiraf sumbangan penggiat seni dan budaya, Sasterawan Negara, Prof. Datuk Dr. Siti Zainon Ismail, telah dikurniai Darjah Kebesaran Panglima Mahkota Wilayah (P.M.W) atas kejayaan beliau mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa, apabila meraih pelbagai anugerah termasuk SEA Write Award pada 1989 dan Tokoh Anugerah Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) melibatkan Anugerah Seni Budaya 2015, Anugerah Srikandi GPMS 2018 dan Anugerah Sasterawan Negara Malaysia 2019.
 
“Selain beliau, individu yang menerima Darjah Kebesaran P.M.W. adalah Ahli Dewan Negara, atlet paralimpik negara dan Pengerusi BERNAMA, Senator Datuk Ras Adiba Mohd Radzi. Beliau banyak memperjuangkan dan memperkasakan komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) dan golongan memerlukan menerusi badan bukan kerajaan yang diketuainya iaitu OKU Sentral. Pakar Perlembagaan dan Dekan Fakulti Undang-undang, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk Dr. Shamrahayu Abd Aziz juga dianugerahi Darjah Kebesaran P.M.W. atas sumbangan beliau dalam bentuk penulisan dan kajian tentang hal-hal kenegaraan, Perlembagaan Persekutuan, undang-undang Islam dan hak asasi manusia.
 
“Pengurniaan DKBPWP merupakan satu penghormatan dan suntikan semangat kepada semua penerima untuk terus memacu kecemerlangan.

“Saya ingin menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan ke atas kerja keras dan sumbangan semua penerima ke arah pembangunan Wilayah Persekutuan,”katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat