KUALA LUMPUR – Pemangku jawatan Timbalan Presiden Bersatu Datuk Radzi Jidin memuji ketenangan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dinilainya berlapang dada memberi ruang serta mendukung Datuk Seri Dr Samsuri Mokhtar menjadai Pengerusi Perikatan Nasional (PN).
Menurut Ahli Parlimen Putrajaya itu, suka atau tidak, Muhyiddin terlibat dalam mengasas, memberi nama, memilih bendera serta menyusun gerak kerja bersama rakan-rakan komponen untuk membina sebuah gabungan baharu yang dinamakan Perikatan Nasional pada tahun 2020.
Kata Radzi, bertunjangkan kerjasama utuh dengan sahabat parti komponen, dalam masa yang singkat, Perikatan Nasional menjadi jenama gabungan politik yang kukuh dan disegani dengan mencatatkan kejayaan dalam pilihan raya.
“Beliau kemudiannya umum letak jawatan pada 30 Disember 2025. Bagi memenuhi kehendak Perlembagaan Perikatan Nasional, Mesyuarat Khas Perikatan Nasional diadakan semalam untuk meluluskan peletakan jawatan tersebut.
“Mesyuarat berlangsung dengan penuh harmoni. Selepas diluluskan, Pengerusi baharu Perikatan Nasional dipilih. Semuanya dibuat dengan penuh tertib. Itulah Muhyiddin.
“Beliau tenang dan berlapang dada memberi ruang serta mendukung Dr Samsuri Mokhtar menjadi Pengerusi Perikatan Nasional. Tiada drama. Itulah Muhyiddin.
“Beliau sentiasa menyatakan komitmen untuk terus menabur bakti kepada Perikatan Nasional termasuk dalam memperkukuh struktur dan memperkasa Majlis Presiden.
“Bak kata orang tua-tua, ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya.
“Pulau pandan jauh ke tengah,Gunung Daik bercabang tiga; Hancur badan dikandung tanah, Budi yang baik dikenang juga,” ujarnya.



