KUALA LUMPUR, — Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup menegaskan keadaan adalah terkawal susulan gempa bumi kuat bermagnitud 6.8 yang berlaku di perairan Kota Kinabalu, Sabah pada jam 12.57 pagi tadi.
Beliau berkata, berdasarkan maklumat yang diterima setakat ini, impak kejadian tersebut adalah minimal dan tidak membawa ancaman besar kepada keselamatan awam.
Menurut Arthur, analisis sistem peta gegaran Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) mendapati intensiti gegaran hanya berada pada skala lemah yang meliputi seluruh Sabah dan bahagian utara Sarawak.
“Walaupun gegaran boleh dirasai sehingga ke Sarawak dan Semenanjung Malaysia disebabkan kedalaman gempa di Zon Mantel, kesannya di permukaan bumi adalah lemah dan risiko kerosakan bangunan secara amnya adalah rendah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut menegaskan bahawa tiada risiko tsunami susulan kejadian tersebut memandangkan kedudukan gempa yang terlalu dalam dan tidak menyebabkan anjakan besar pada dasar laut.
“Penduduk di kawasan pesisir pantai tidak perlu bimbang tentang ancaman tsunami buat masa ini,” katanya.
Arthur menjelaskan bahawa gempa kali ini berbeza dengan gempa bumi Ranau pada tahun 2015 yang bersifat cetek dan menyebabkan kerosakan ketara, manakala kejadian terbaharu ini berlaku jauh di bawah kerak bumi akibat proses geologi semula jadi melibatkan pergerakan plat lautan.
Secara amnya, risiko kerosakan struktur bangunan adalah rendah, namun gegaran mungkin lebih dirasai di kawasan tanah lembut.
Dalam masa sama, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk memastikan kod bangunan tahan gempa terus diperkukuh demi keselamatan awam.
Arthur berkata, fenomena tersebut menunjukkan Sabah merupakan kawasan yang aktif secara geologi, namun kejadian pagi tadi tidak membawa ancaman besar kepada orang ramai.
Beliau turut memaklumkan bahawa kementerian melalui agensi di bawahnya terus memperkukuh Sistem Amaran Awal (Early Warning System – EWS) bagi bencana berkaitan cuaca, gempa bumi dan tsunami bagi memastikan maklumat dapat disampaikan secara pantas dan tepat.
MET Malaysia akan terus memantau sebarang kemungkinan gempa susulan dan akan memaklumkan perkembangan terkini sekiranya terdapat aktiviti seismik dikesan, manakala orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menimbulkan kegusaran.
Pihak Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), MET Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) kini memantau keadaan secara berterusan selama 24 jam.



