Cyberjaya – Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli mendedahkan beberapa mesej lama yang didakwa dihantar oleh pempengaruh dan penyanyi rap, Caprice ketika beliau masih menjawat jawatan menteri.
Menerusi satu video berdurasi lebih dua minit yang dimuat naik di Facebook malam ini, Rafizi mendakwa semua tuduhan atau fitnah yang dibuat terhadapnya sebelum ini telah dijawab satu persatu, malah urusan saman telah diserahkan kepada peguamnya.
Menurut beliau, antara perkara yang dibangkitkan ialah cubaan Caprice untuk mengadakan pertemuan dengan pegawai pejabatnya sekitar Januari 2024 bagi membincangkan sistem subsidi yang pernah dibentangkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Rafizi berkata, ketika itu umum mengetahui bahawa Kementerian Ekonomi bertanggungjawab merangka dasar berkaitan penyelarasan semula subsidi.
Beliau turut mendakwa Caprice ada menyebut mengenai pembentangan aplikasi pertanian dikenali sebagai “YouFarm” serta meminta sesi pertemuan secara tertutup bagi menunjukkan idea-idea lain yang didakwa diusahakan.
“Jabatan saya tak layan,” katanya dalam video tersebut.
Rafizi turut memetik mesej bertarikh 9 Julai 2024 dan 4 Mei 2025 yang didakwa menunjukkan usaha berterusan untuk menghubungi pegawainya, termasuk kenyataan menyarankan beliau melakukan ‘rebranding’.
<iframe src=”https://www.facebook.com/plugins/video.php?height=476&href=https%3A%2F%2Fwww.facebook.com%2Freel%2F1240086537639477%2F&show_text=false&width=267&t=0″ width=”267″ height=”476″ style=”border:none;overflow:hidden” scrolling=”no” frameborder=”0″ allowfullscreen=”true” allow=”autoplay; clipboard-write; encrypted-media; picture-in-picture; web-share” allowFullScreen=”true”></iframe>
Dalam nada sinis, Rafizi mempersoalkan perubahan sikap Caprice sebelum dan selepas beliau tidak lagi memegang jawatan menteri.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dengan pempengaruh dalam soal politik dan kepimpinan.
“Kalau pasal nak pilih ais krim atau beli sambal, itu okey. Tapi kalau soal politik dan kepimpinan, perhatikan sama ada seseorang itu konsisten atau tidak,” katanya.
Menurut Rafizi lagi, terdapat pempengaruh yang menjadikan sokongan atau kritikan terhadap kerajaan sebagai ‘job’, dan boleh berubah pendirian mengikut keadaan politik semasa.
Setakat ini, Caprice belum mengeluarkan kenyataan balas berhubung dakwaan tersebut.



