Adun Kuala Sepetang letak jawatan sebagai Ketua Bersatu Bahagian Bukit Gantang

TAIPING, — Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sepetang, Ahmad Man mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Bukit Gantang, berkuat kuasa 17 Februari lalu.

Dalam surat rasmi yang ditujukan kepada kepimpinan bahagian, Ahmad berkata keputusan itu dibuat selepas mempertimbangkan secara mendalam perkembangan semasa, khususnya melibatkan beberapa perkara dan pendekatan di peringkat kepimpinan atasan yang memberi kesan kepada peranan serta keberkesanan kepimpinan di peringkat bahagian.

Beliau memaklumkan terdapat kekangan tertentu yang menyukarkan beliau untuk melaksanakan tanggungjawab sepenuhnya selaras dengan prinsip, amanah dan komitmen yang dipegang sepanjang memimpin bahagian tersebut.

Sehubungan itu, Ahmad berkata keputusan berundur dibuat bagi menjaga integriti dan keharmonian organisasi serta mengelakkan sebarang kekeliruan dalam kepimpinan, selain memberi laluan kepada kepimpinan baharu untuk meneruskan perjuangan parti di peringkat bahagian.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh kepimpinan dan ahli Bersatu Bahagian Bukit Gantang atas sokongan dan kepercayaan yang diberikan sepanjang tempoh beliau memegang jawatan tersebut.

Ahmad juga menegaskan komitmennya untuk memberi kerjasama penuh bagi memastikan proses penyerahan tugas dan peralihan kepimpinan dapat dilaksanakan dengan teratur dan lancar.

Peletakan jawatan Ahmad berlaku ketika Bersatu berdepan kemelut dalaman yang menyaksikan beberapa pemimpin kanan parti mengambil keputusan serupa, sekali gus mencetuskan spekulasi mengenai kedudukan kepimpinan parti di pelbagai peringkat.

Ahmad dikatakan antara penyokong kem belas Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang dipecat minggu lalu.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat