KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang meneroka benih padi baharu dari Indonesia yang hanya mengambil masa 65 hari untuk dituai.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, sekiranya benih itu sesuai ditanam di Malaysia, maka hasil petani akan meningkat berlipat kali ganda.
“Kerajaan sedang meneroka benih baharu padi, kerana sekarang ini di Indonesia telah diperkenalkan padi yang hanya 65 hari.
“Kalau 65 hari dari tanam sampai tuai seorang petani itu dan syarikat itu dia tidak boleh buat kerja lain melainkan menumpukan kepada padi itu kerana kita tahu kalau dia terlibat 65 hari maka boleh diusahakan lima kali dalam masa dua tahun.
“Jika dua bulan setengah hasil dari tanam sampai tuai yakni 65 hari maka kita akan lihat tumpuan dan seorang pesawah itu dia akan menjadi pekerja dan petugas kepada Program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB),” katanya di Dewan Rakyat, semalam.
Pun begitu Mohamad menegaskan, ketika ini pihak sedang merangka beberapa perubahan dan tambah baik daripada projek rintis yang dimulakan sewaktu pemerintahan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Kita sedang buat perubahan dan akan sambung serta memperbaikinya terutamanya dari sudut pemulihan tanah, benih dan sebagainya.
“Dan kita harap satu ketika tidak lama sangat Malaysia akan capai sasaran Tahap Sara Diri (SSL) beras,” katanya.
Katanya lagi, kerajaan sedang menambah baik beberapa perkara di dalam Program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB). Antara perkara-perkara itu ialah pemulihan tanah dan benih.
Sehingga kini Program SMART SBB mencapai pengeluaran purata 7 tan hasil dengan penggunaan 110,000 hektar tanah.