Imagi mula ‘merasuk’

- Advertisement -

Sejajar dengan inisiatif baharu bagi memperkasakan artis indie yang menapak dalam industri seni tempatan, Rocketfuel Entertainment menerusi Rocketfuel Indie Space Station (RISS) sekali lagi mengorak langkah bersepadu dengan menandatangani perjanjian bersama band indie dikenali sebagai Imagi.

Imagi yang dianggotai enam pemuzik berpengalaman terdiri daripada Haziq Haminorddin (vokalis), Fitri Johari atau Bab (vokalis/gitaris), Zulhilmi Ali atau Amy Bong (pemain keyboard), Abror Mustafa (pemain bass), Nazmi Muzaffar (gitaris utama) dan Hafidz Safar (pemain dram) kini tampil dengan single pertama berjudul Merasuk.

Single dalam genre rock alternatif yang jarang diketengahkan itu dicipta sepenuhnya oleh Amy Bong yang bukan hanya aktif bermain muzik, tetapi dikenali sebagai komposer disegani. Malah, Amy juga pernah menghasilkan lagu untuk penyanyi tempatan.

“Saya adalah penggiat muzik yang sudah lama berkecimpung dalam bidang seni hiburan ini.

“Bahkan, perjalanan seni muzik kami berenam pun bermula ketika melakukan persembahan secara langsung di beberapa acara hiburan. Sehingga terdetik impian untuk menghasilkan lagu ‘cover’ untuk penyanyi di Rocketfuel.

“Dan pada ketika itu RISS melihat bakat yang kami ada secara kolektif sebagai sebuah kumpulan, lantas terus mempelawa untuk menyertai mereka,” katanya.

Menurut Haziq pula, nama Imagi diinspirasikan dari perkataan bahasa Inggeris iaitu ‘imagi-nation’ yang membawa maksud imaginasi.

“Semua orang mempunyai imaginasi tersendiri, sama ada dalam bentuk angan-angan, mimpi di siang hari mahupun sebuah impian. Dan kami pula menggunakan ‘imaginasi’ ketika berkarya,” katanya.

Menariknya mengenai single Merasuk, ia berdasarkan adaptasi dari sebuah kisah benar. Bab berkata, Merasuk menceritakan kisah cinta seorang lelaki yang ditolak oleh wanita idaman.

 

KINI tampil dengan single pertama berjudul Merasuk.
KINI tampil dengan single pertama berjudul Merasuk.

 

“Disebabkan kehilangan cinta dari wanita itu, ia membuat lelaki itu terseksa dan tak keruan serta enggan menerima takdir bahawa cintanya ditolak. Sehinggakan dia sanggup buat apa saja asalkan dapat bersama wanita yang dicintainya itu.

“Entah apa yang ‘merasuk’ dirinya kerana tak mampu hidup tanpa cinta dari wanita berkenaan,” kata Bab.

Abror selaku pemain bass berkongsi, sesi rakaman yang mengambil masa selama seminggu dilakukan mereka di Studio Alibaba Records.

“Proses rakaman single Merasuk mengambil masa yang agak lama kerana kami mahukan emosi lagu ini ‘masuk’ dalam penceritaan yang cuba bawakan.

“Selain itu, kami juga amat menitikberatkan proses ‘mixing’ serta ‘mastering’ supaya produk akhirnya betul-betul berkualiti dan kena dengan cita rasa kami.

“Apatah lagi, ini adalah single pertama kami dan sudah tentu mahu hasil yang terbaik buat semua pendengar,” kata Abror.

Ketua Rocketfuel Entertainment, Feros Sayna berkata, platform RISS disediakan khusus buat pengkarya indie. Visi dan misi bukan saja fokus kepada imej atau muzik ‘trending’, sebaliknya kualiti karya yang diketengahkan.

“Di bawah Rocketfuel, kami ada RISS yang menyediakan platform khusus buat pengkarya indie. Bukan semua yang kami serap, tetapi hanya pemuzik berkelayakan. Ia bagi memastikan mutu muzik yang dikeluarkan Rocketfuel adalah terjamin.

“Imagi adalah sebuah band rock yang dinamik dan mempunyai bunyi tersendiri. Semoga dengan terlancarnya single Merasuk, band ini lebih dikenali dan mendapat sambutan dari semua pihak,” katanya.

Lagu Merasuk boleh dimuat turun di iTunes Store mulai 18 Februari lalu. Kini, Merasuk juga boleh didengar dan dimuat naik melalui aplikasi penstriman seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music, KKBox dan Deezer.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat