KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju menamatkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Teluk, Setiawan, Perak dan Felda Triang 3, Bera, Pahang esok.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Felda Triang 3, Bera yang dikenakan PKPD pada 18 Feb, ditamatkan lebih awal berbanding mengikut jadual yang sepatutnya pada 3 Mac.
“Sehingga kini, KKM (Kementerian Kesihatan) telah melaksanakan 237 ujian saringan dan daripada jumlah itu, secara kumulatif sebanyak 11 kes positif (COVID-19) telah direkodkan. Bagaimanapun, KKM mengesahkan situasi penularan jangkitan di lokaliti ini menunjukkan trend penurunan dan terkawal serta tiada lagi sampel saringan yang sedang menunggu keputusan.
“Sehubungan itu, pihak kerajaan atas nasihat KKM bersetuju untuk menamatkan PKPD di Felda Triang 3, Bera, Pahang pada 24 Feb, lebih awal daripada tarikh yang ditetapkan,” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini hari ini.
Berhubung perkembangan di Kampung Teluk, Setiawan yang dikenakan PKPD pada 11 Feb, Ismail Sabri berkata sehingga kini KKM telah melaksanakan 131 ujian saringan dan daripada jumlah itu, secara kumulatif sebanyak 26 kes positif COVID-19 telah direkodkan.
Bagaimanapun Ismail Sabri berkata, KKM mengesahkan baki kes positif di lokaliti tersebut menunjukkan trend penurunan serta tiada lagi kes baharu dikesan selepas 17 Feb.
Mengenai saringan wajib pekerja warga asing semalam, Ismail Sabri berkata seramai 15,399 warga asing telah menjalani saringan COVID-19 dan daripada jumlah itu, 97 didapati positif.
“Secara kumulatif, Kementerian Sumber Manusia memaklumkan seramai 458,919 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan COVID-19 yang melibatkan 22,912 majikan dan daripada jumlah ini, 8,101 orang telah disahkan positif manakala 450,818 lagi negatif,” katanya.
Selain itu, 17 pendatang tanpa izin ditangkap bersama empat tekong, serta 11 kenderaan darat dirampas dalam Op Benteng semalam. – Bernama