KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Akmal Saleh menggesa ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) kekal menolak Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) 2025 yang dibawa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Tegas Adun Merlimau itu, gesaan tolak RUU URA itu kekal selagi mana cadangan penambahbaikan hasil daripada konvensyen URA yang dianjur Umno tidak dimasukkan dalam RUU tersebut.
“Selagi mana cadangan penambahbaikan hasil daripada konvensyen URA yang dianjurkan oleh Umno sebelum ini tidak dimasukkan dalam RUU URA, saya mohon kepada semua ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk menolak RUU URA yang ingin dibentangkan dalam sidang dewan Parlimen pada kali ini.
“Kita pernah sepakat untuk menolak sebelum ini, maka tiada alasan dan keperluan untuk kita meneruskan RUU yang sama pada kali ini.
“Rakyat melihat dan menilai,” tegas Akmal.
Menteri KPKT Nga Kor Ming baru-baru ini berkata, kementeriannya bersedia untuk membentangkan RUU URA bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat.
Ujarnya, KPKT bertekad meneruskan pembentangan RUU berkenaan selepas memperoleh konsensus Jemaah Menteri.
Sementara itu, terdahulu Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Datuk Seri Johari Abdul Ghani memberi peringatan agar semua isu yang dibangkitkan dimasukkan dalam pembentangan RUU berkenaan.
Naib Presiden Umno itu menegaskan bahawa Ahli Parlimen Umno tidak akan menyokong RUU URA sekiranya cadangan serta kebimbangan semua pihak berkepentingan tidak diterjemahkan secara jelas dalam perundangan tersebut.
Menurut beliau, perkara itu termasuk resolusi yang diluluskan semasa Konvensyen Pembaharuan Bandar yang diadakan tahun lalu bagi membincangkan implikasi rang undang-undang berkenaan.



