Oleh Zihan Zari
IPOH – Teknologi moden seperti kecerdasan buatan (AI) harus dimanfaatkan secara bijak tanpa mengabaikan nilai-nilai keagamaan dan sahsiah.
Kepentingan pengukuhan jati diri dalam kalangan pelajar sebagai elemen utama untuk mendepani cabaran teknologi yang semakin canggih.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud berkata demikian ketika mempengerusikan sesi dialog townhall ‘Talk to Us’ bersama lebih 300 mahasiswa dan alumni Politeknik Ungku Omar (PUO) bersempena lawatan kerja Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi di Dewan Jubli Perak PUO dekat sini pada Selasa.
Ahli panel ‘Talk to Us ’terdiri daripada Pelajar Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Nur Salimatun Saadiah Bakhtiar ; Ketua Jabatan Kejuruteraan Marin, Ts. Huzaifah Abdul Razab @Ghazali; dan Alumni PUO, Izwan Helmi Mohd Mokhtar yang membincangkan pelbagai isu dan cabaran dalam pendidikan tinggi.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Governan) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Ts. Hj. Kamaludin Daud, dan Pengarah PUO, Dr. Shamsuri Abdullah.
Mustapha berkata, cabaran teknologi sentiasa wujud, tetapi yang lebih penting adalah bagaimana untuk memupuk nilai jati diri yang kuat dalam diri pelajar.
“Ini akan menjadi penapis kepada pengaruh negatif yang terhasil daripada perkembangan teknologi.
“Melalui inisiatif ini, kerajaan berharap dapat membangunkan generasi pelajar yang mampu menghadapi cabaran masa hadapan dengan kekuatan sahsiah dan kemahiran teknologi yang seimbang, seiring usaha meningkatkan ekosistem pendidikan tinggi negara, ”katanya.
Terdahulu, beliau telah singgah ke PUO Kampus Cawangan Bercham yang baharu diterima secara rasmi pada 11 Januari lalu, sebelum ke PUO Kampus B bagi merasmikan makmal realiti maya (VR Lab) merupakan sebuah kemudahan yang bakal membawa manfaat besar kepada proses pembelajaran dan latihan pelajar.
PUO dalam kenyataannya memaklumkan, lawatan ini kemudiannya diakhiri dengan upacara simbolik menanam pokok serta sesi ramah mesra bersama pelajar serta kakitangan asal Sabah di situ.
“Program lawatan kerja ke PUO ini merupakan kesinambungan inisiatif beliau untuk turun padang ke institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang bermula sejak tahun lalu.
“Untuk rekod, PUO merupakan politeknik pertama yang dilawati oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi pada tahun ini, ”kata kenyataan itu .- SUARA.TV