Menteri Ekonomi bukan Santa Klaus bawa hadiah percuma kepada rakyat – Rafizi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Tugas Menteri Ekonomi bukanlah menjadi Santa Klaus membawa hadiah percuma kepada rakyat.

Sebaliknya Rafizi Ramli menegaskan, amanah beliau ialah membetulkan struktur ekonomi negara yang telah menyimpang dari landasan pertumbuhan yang mampan akibat amalan-amalan ekonomi yang tidak lagi kita mampu tampung.

“Beberapa minggu lalu, kecoh isu rombakan Jemaah Menteri. Saya tahu satu harapan penyokong pembangkang yang menggunung ialah melihat orang lain menjadi Menteri Ekonomi, supaya mereka dapat canangkan kegagalan reformasi ekonomi negara.

“Inilah isu yang dimainkan sejak setahun lalu, konon ekonomi telah tenat dan merudum.

“Dalam beberapa bulan pertama, mereka memainkan isu “tak de apa-apa” untuk membayangkan “menteri dan kerajaan tidak buat apa-apa”, bidas Rafizi dalam kenyataan pada Jumaat.

Menjelang Mei 2023, tempias ketidaktentuan ekonomi di Amerika Syarikat mempengaruhi nilai ringgit yang jatuh akibat perbezaan kadar faedah.

“Itu menguatkan lagi serangan pembangkang kononnya ekonomi merudum. Lumrahlah seorang Menteri Ekonomi berdepan dengan semua ini. Sementara saya mengalu-alukan pandangan, ia mestilah bersandarkan penilaian yang menyeluruh dan bukan diambil sekerat-kerat.

“Ia juga mesti mengambil kira perspektif kedudukan ekonomi yang diambil alih Kerajaan Perpaduan setahun yang lepas.

“Rakyat terbiasa dengan amalan pengumuman projek atau buah tangan sebagai bukti ada perancangan ekonomi di pihak kerajaan. Ada yang suka bertepuk tangan menyebut projek-projek mega berpuluh bilion yang pernah diusahakan pentadbiran lalu (tanpa mengira beban hutang yang mereka tanggung dan kini terpaksa ditangani kerajaan).

“Ada juga yang rindukan zaman duit KWSP mereka dikeluarkan untuk berbelanja – senang sekejap tetapi susah untuk tempoh yang lama, disamping mendorong kenaikan harga barang apabila sejumlah wang disuntik ke dalam ekonomi dalam tempoh yang singkat.

“Tugas Menteri Ekonomi bukanlah menjadi Santa Klaus membawa hadiah percuma kepada rakyat. Amanah saya ialah membetulkan struktur ekonomi negara yang telah menyimpang dari landasan pertumbuhan yang mampan akibat amalan-amalan ekonomi yang tidak lagi kita mampu tampung,” jelas beliau.

Rafizi juga menyenaraikan amalan-amalan yang telah gagal ditangani oleh pentadbiran-pentadbiran lalu iaitu amalan subsidi pukal yang diberikan kepada semua – tidak kira kaya miskin, pelawat asing, pelancong, pekerja asing.

Ujar beliau, tanggungannya telah mencecah sekitar RM80 bilion setahun, sedangkan wang ini boleh diberikan terus kepada keluarga warganegara Malaysia yang layak menerima untuk dibelanjakan.

“Selain itu, amalan berhutang dan menggagau apa-apa tabung yang ada asalkan kerajaan pada ketika itu boleh dilambung seperti Santa Klaus. Defisit yang berterusan tinggi, dividen dari PETRONAS yang diambil tinggi setiap tahun, membelanjakan tabung amanah rakyat tanpa ada rancangan untuk mengurangkan hutang negara,” tempelak Timbalan Presiden PKR itu lagi.

Bukan hanya itu, Rafizi juga mengatakan pergantungan kepada pekerja asing yang telah mencecah 2.5 juta orang (yang didokumenkan, yang tidak didokumen lebih tinggi) yang menyempitkan ruang pekerjaan kepada warganegara. Kesannya bukan sahaja kepada peluang pekerjaan, tetapi juga aliran mata wang keluar apabila gaji mereka dihantar pulang setiap bulan (yang ada kesan secara tidak langsung kepada nilai ringgit).

“Juga perangkap ekonomi nilai rendah yang menyebabkan “crowding out” atau “cannibalisation”, iaitu peniaga mikro, kecil dan sederhana bersaing sesama sendiri dalam pasaran setempat/nasional kerana tidak mampu untuk mengusahakan produk/perkhidmatan yang mempunyai kandungan nilai/teknologi lebih tinggi. Sebab itu 95 peratus dari entiti perniagaan berdaftar di negara ini adalah perniagaan mikro dan kecil yang sukar menembusi pasaran nasional, apatah lagi antarabangsa.

“Pertumbuhan gaji pekerja yang tidak selari dengan kenaikan harga barang yang menyebabkan rakyat terdedah kepada risiko kenaikan kos sara hidup apabila ada gangguan bekalan (dalam bentuk harga atau penawaran barangan/perkhidmatan),” katanya.

Sementara itu, Rafizi juga tahu beliau akan terus menjadi sasaran serangan pembangkang kerana ia perkara yang termudah untuk mereka.

“Saya juga tahu tanggungjawab saya untuk terus memberi pencerahan supaya saya sendiri dapat meyakinkan rakan saya dalam Jemaah Menteri untuk tidak mengambil jalan pintas (seperti pentadbiran-pentadbiran lalu) dan lari dari menyelesaikan masalah-masalah pokok begini.

“Fokus kepada reformasi ekonomi jangka sederhana dan panjang ini sangat penting. Menteri akan datang dan pergi, kami berkhidmat atas peluang yang diberikan rakyat dan ditentukan Allah.

“Amanah saya sebagai seorang menteri ialah untuk membantu mengeluarkan Malaysia dari jerat-jerat struktur ekonomi ini yang dibiarkan menjalar sebelum ini, supaya mereka yang datang selepas saya tidak perlu bergelumang seperti sekarang.

“Saya membaca secara berterusan komen segenap lapisan rakyat – dari penganalisis ekonomi, tokoh akademik hingga rakyat biasa. Ada yang mengambil jalan mudah hanya menceritakan sekerat-kerat dan pandangan begitu senang dilambung (terutama oleh warga maya yang cenderung kepada pembangkang),” katanya.

Namun kata beliau, ramai juga yang memahami tugas berat membetulkan struktur ekonomi negara ini.

“Salah seorangnya ialah Profesor Dr. Geoffrey Williams, seorang ahli ekonomi lulusan University of Cambridge dan berpengalaman sebagai ahli ekonomi di universiti ternama dunia seperti University of Oxford dan University of London.

“Beliau berpengalaman selama 17 tahun sebagai ahli ekonomi di Malaysia dan pernah melalui dasar ekonomi yang dilaksanakan pelbagai pentadbiran sebelum ini.

Bila beliau memberi nada positif kepada rombakan Jemaah Menteri dalam mengemudi agenda reformasi ekonomi negara, saya berharap lebih ramai yang mengambil perspektif menyeluruh mengenai cabaran ekonomi negara seperti disiplinnya seorang ahli ekonomi,” ujar Rafizi.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat