G20: Harga Vaksin COVID-19 Berpatutan, Diagih Secara Saksama

- Advertisement -

RIYADH: Negara anggota Kumpulan 20 (G20) memberi penekanan mengenai pentingnya keperluan memperoleh vaksin di peringkat global, selain usaha memerangi pandemik dan kemelesetan ekonomi paling teruk dekad ini.

Menerusi sidang kemuncak yang dianjurkan secara maya oleh Arab Saudi, pemimpin dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dilihat beberapa kali muncul mengetengahkan pendirian berhubung pandemik berkenaan.

Perbincangan dalam kalangan pemimpin menerusi perhimpunan selama dua hari, secara maya itu semakin ‘hangat’ memandangkan usaha pengagihan vaksin COVID-19 di peringkat antarabangsa bakal dilaksanakan selepas ‘penawar’ itu menempa kejayaan ujian percubaan dan wujud gesaan supaya negara anggota G20 menampung kekurangan dana menjangkau AS$4.5 bilion (RM18.42 bilion).

Walaupun optimis dengan perkembangan pembangunan vaksin, Pengerusi G20 Raja Salman Abdulaziz Al Saud, berkata kerjasama wajar dijalin antara negara anggota kumpulan itu bagi memastikan vaksin itu mampu diperoleh pada harga berpatutan dan diagihkan secara saksama kepada masyarakat global.

“Kita mempunyai tanggungjawab bersama menangani cabaran berkenaan dan memberi harapan serta jaminan kepada rakyat kita bagi mencari penyelesaian menghadapi krisis pandemik ini,” katanya dalam ucaptama pembukaan sidang kemuncak itu.

Presiden China, Xi Jinping, pula mengetengahkan cadangan untuk membina ‘tembok global’ terhadap COVID-19, dengan menggesa negara anggota G20 membantu mengedarkan vaksin secara adil dan berkesan.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron, menyifatkan krisis kesihatan yang melanda dunia, sejak Disember tahun lalu adalah ‘ujian untuk kumpulan G20’ dan ia hanya mampu ditangani menerusi tekad dari seluruh dunia.

Bersandarkan kenyataan Rumah Putih, Trump dilaporkan berkata, Amerika Syarikat merintis usaha untuk mempercepatkan pembangunan vaksin supaya ia mampu menyelamatkan jutaan nyawa manusia.

Negara anggota G20 menyumbang lebih AS$21 bilion (RM85.94 bilion) untuk memerangi pandemik kesihatan yang sudah menjangkiti 56 juta orang di seluruh dunia dan merekodkan angka kematian menjangkau 1.3 juta.

Pada masa sama, G20 ‘menyuntik’ AS$11 trilion (RM45.02 trilion) untuk melindungi ekonomi dunia yang terkesan dengan penularan COVID-19.

Bagaimanapun, pemimpin negara anggota G20 berdepan tekanan untuk melaksanakan penangguhan bayaran hutang dalam kalangan negara membangun.

Menteri Kewangan Arab Saudi, Mohammed Al Jadaan, minggu lalu mengisytiharkan ‘kerangka bersama’ mengenai lanjutan penstrukturan semula hutang untuk negara yang terkesan dengan COVID-19. – AFP

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat