Jabatan Perikanan Johor lepaskan 1.6 juta benih udang galah, catat Malaysia Book of Records

Oleh Zihan Zari

SEGAMAT – Jabatan Perikanan Johor melakar sejarah apabila berjaya melaksanakan Pelepasan Benih Udang Galah (Macrobrachium rosenbergii) dan diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai ‘Pelepasan Benih Udang Galah Terbanyak di Malaysia’ dengan jumlah 1.6 juta ekor.

Pelepasan benih udang telah dilaksanakan serentak di tujuh daerah iaitu Segamat, Kluang, Muar, Tangkak, Batu Pahat, Mersing dan Kota Tinggi.

Ia melibatkan lima lembangan sungai utama yang menempatkan komuniti nelayan darat iaitu Sungai Muar, Sungai Ulu Benut, Sungai Sembrong, Sungai Telor dan Sungai Lenggor, kata Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Dato’ Zahari Sarip.

Program ini bukan sekadar simbolik pelepasan benih semata-mata. Ia adalah manifestasi komitmen kerjasama strategik bersama antara kerajaan negeri, jabatan dan komuniti nelayan darat untuk memulihara serta memelihara sumber perikanan air tawar di Johor.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Benih Udang Galah Serentak Seluruh Johor di Sungai Muar, Jambatan Putus, dekat sini baru-baru ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Pengurusan) Jabatan Perikanan Malaysia, Yeo Moi Eim; dan Pengarah Perikanan Johor, Rosmawati Ghazali.

Zahari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buloh Kasap berkata, usaha ini diperkasakan menerusi peruntukan keseluruhan tahun 2025 berjumlah RM650,000 merangkumi RM600,000 daripada Kerajaan Negeri dan RM50,000 oleh Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan pelepasan tiga juta benih udang galah dan 202,000 benih ikan di lapan lokasi terpilih seluruh negeri ini, ”katanya dalam kenyataan.

Katanya, sektor perikanan darat Johor terus mencatat pertumbuhan positif apabila meningkat sebanyak 1,400.33 tan metrik hasil air tawar bernilai RM18.77 juta direkodkan pada tahun 2024 berbanding 1,184 tan metrik bernilai RM16.78 juta untuk tahun sebelumnya.

“Inisiatif pelepasan benih secara besar-besaran ini adalah langkah tepat bagi memastikan stok sumber semula jadi terus berkekalan, sekali gus memberi manfaat ekonomi dan usaha untuk peningkatan pendapatan kepada nelayan darat (sungai) serta masyarakat luar bandar,”katanya lagi.

Tambahnya, kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar, Dato’ Onn Hafiz Ghazi akan terus menyokong pembangunan sektor perikanan dalam memperluaskan inisiatif kepada komuniti nelayan darat seperti pemberian bantuan tunai melalui Program Bantuan Kasih Johor.

“Selain itu, pemberian bantuan peralatan keselamatan, jarring, enjin sampan, pembinaan jeti-jeti pendaratan dan lain-lain bagi kemudahan nelayan darat untuk melaksanakan aktiviti penangkapan sumber dengan selamat, serta meningkatkan taraf sosio-ekonomi komuniti terbabit, ”tambahnya lagi.

Dalam pada itu, Pengarah Perikanan Johor, Rosmawati Ghazali berkata, pihaknya akan terus memperkukuh program pemulihan stok sumber perikanan darat dengan memperluas aktiviti pelepasan benih ikan tempatan asli seperti lampam sungai, baung kuning, patin buah dan sebarau.

“Selain itu, membanteras ikan asing invasif seperti baung ekor merah, ikan pleco dan udang kara air tawar yang mengancam keseimbangan ekosistem sungai, ”katanya.

Pada masa yang sama, wakil rasmi MBOR, Siti Nurhanim Mohd Noh telah menyerahkan sijil pengiktirafan rasmi kepada Jabatan Perikanan Malaysia atas kejayaan mencatat “Pelepasan Benih Udang Galah Terbanyak di Malaysia” dengan jumlah 1,602,500 ekor dilepaskan di seluruh Johor.

Selain itu, program ini turut menyaksikan penyerahan lesen nelayan darat dan peralatan keselamatan kepada 34 nelayan darat berdaftar di kawasan DUN Buloh Kasap. – SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat