Khairudin: Penjelasan Pejabat Peguam Negara

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Jabatan Peguam Negara memutuskan tidak mengemukakan sebarang pertuduhan terhadap Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Mohd. Khairuddin Aman Razali kerana tiada keterangan kukuh bahawa beliau melanggar perintah kuarantin di rumah.

Menerusi kenyataan akhbar hari ini, Jabatan Peguam Negara turut memaklumkan, pihaknya tidak menemui beban bukti yang diperlukan di bawah undang-undang untuk melakukan pendakwaan.

Menurutnya, hasil kajian dan penelitian terhadap kertas siasatan mendapati pegawai diberi kuasa telah menggunakan budi bicaranya untuk tidak mengeluarkan sebarang perintah pemerhatian atau pengawasan di rumah untuk mengarahkan Khairuddin menjalani pemerhatian dan pengawasan di rumah mengikut Subseksyen 15(1) Akta 342.

“Borang 14b seperti yang diperuntukkan dalam Garis Panduan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mengandungi perintah pemerhatian atau pengawasan selaras dengan subseksyen 15(1) Akta 342 tidak pernah diserahkan kepada Khairuddin sebelum beliau dibenarkan pulang ke rumah.

“Bagi menjadikan perbuatan melanggar perintah kuarantin di rumah sebagai suatu kesalahan di bawah Akta 342, perintah pemerhatian atau pengawasan di rumah mestilah diserahkan kepada menteri terlebih dahulu sebagaimana kehendak di bawah Subseksyen 15(1) Akta 342,” katanya.

Katanya, penelitian terhadap kertas siasatan menunjukkan bahawa Mohd. Khairuddin berlepas ke Turki pada 3 Julai dan kembali ke Malaysia pada 7 Julai.

Jelasnya lagi, sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Mohd. Khairuddin telah menjalani pemeriksaan kesihatan untuk saringan ujian calitan Covid-19 dan keputusannya adalah negatif.

“Khairuddin telah pun dibenarkan puIang ke kediamannya oleh pegawai daripada KKM selaku pegawai diberi kuasa yang dilantik di bawah Seksyen 3 Akta 342.

“Kemudian, Khairuddin telah menjalani ujian saringan kali kedua pada 10 Julai di Hospital Kuala Lumpur sebelum menghadiri majlis di lstana Negara pada 17 Ogos lalu. Bagaimanapun, keputusan saringan kali kedua juga adalah negatif,” katanya.

Hari ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed memaklumkan, tiada tindakan lanjut (NFA) terhadap Khairuddin kerana melanggar arahan kuarantin Covid-19.

Sebelum ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan terhadap Khairuddin selepas gagal mematuhi kuarantin wajib di rumah setelah pulang dari Turki, pada 7 Julai lalu.

Polis menjalankan siasatan ke atasnya mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) susulan 27 laporan yang diterima polis berhubung perkara itu.

Sebelum ini, KKM memaklumkan sudah mengenakan kompaun RM1,000 terhadap Khairuddin pada 7 Ogos lalu, atas kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan), Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342).-K!ONLINE

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat