Balai Seni Negara anjur Merdeka Suka Cipta 2025

Oleh Zihan Zari

KUALA LUMPUR – Sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68, dan Hari Malaysia, Balai Seni Negara telah menganjurkan Program Merdeka Suka Cipta 2025 di Balai Seni Negara, dekat sini baru-baru ini.

Program dilancarkan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Dato’ Shaharuddin Abu Sohot.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN), Shaik Rizal Sulaiman; Ketua Pengarah LPSVN, Amerrudin Ahmad; ahli-ahli lembaga LPSVN, pegawai-pegawai kanan MOTAC, wakil jabatan dan agensi, rakan kerjasama strategik, serta para penggiat seni.

Balai Seni Negara dalam kenyataan berkata, Merdeka Suka Cipta 2025 yang berlangsung selama dua hari itu bertujuan untuk menyemarakkan semangat patriotik serta memperkukuh perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

“Program ini turut dianjurkan bersempena ulang tahun Balai Seni Negara yang ke-67, sekali gus membuka peluang kepada masyarakat untuk mengekspresikan rasa cinta terhadap negara melalui seni visual, ciptaan inovatif, teknologi ringkas, bahan kitar semula, dan media digital, ”kata kenyataan itu.

Katanya, program ini menyajikan pelbagai pertandingan dan aktiviti menarik melibatkan pelbagai lapisan masyarakat antaranya, Pertandingan Seni Lukis Kanak-kanak bertemakan ‘Impian Saya untuk Malaysia’ yang dibahagikan kepada empat kategori iaitu Kategori Khas, Kategori A (5 – 6 tahun), Kategori B (7- 9 tahun) dan Kategori C (10 – 12 tahun).

Selain itu, Pertandingan Reka Cipta Arca dan Instalasi yang mengetengahkan tema ‘Inspirasi Minda, Cerita dari Tanah Merdeka’ dibuka kepada penyertaan pelajar berumur 13 hingga 17 tahun.

Manakala Pertandingan Seni Lukis Figuratif pula menampilkan dua kategori iaitu Kategori A (18 – 25 tahun) dan Kategori B (26 tahun ke atas) sekali gus memberi ruang kepada generasi muda dan dewasa mengekspresikan idea secara kreatif.

“Selain itu, Pertandingan Kreasi Reka Kostum Inspirasi dari Koleksi Seni Negara dengan empat kategori iaitu Kategori A (6 tahun), Kategori B (7 – 12 tahun), Kategori C (13 – 17 tahun) dan Kategori D (18 tahun ke atas).

“Menariknya, penyertaan bagi Kategori A dan B turut dibuka secara duo, membolehkan peserta cilik menonjolkan kreativiti mereka dalam bentuk persembahan berpasangan yang lebih interaktif dan menyeronokkan,”katanya lagi.

“Turut dimeriahkan pertandingan kreatif komuniti seperti Wall of Battle, Art Pacak, Skateboard dan Fingerboard yang menjanjikan kelainan serta keterlibatan belia dan masyarakat umum.

“Sepanjang tiga hari penganjuran, pelbagai aktiviti diadakan termasuk pound workout, zumba, borak santai, bengkel seni, tayangan animasi, aktiviti wall climbing, persembahan pentas dan pelbagai lagi pengisian menarik yang sesuai untuk seisi keluarga.

“Selain itu, pengunjung dapat menikmati hidangan daripada jualan food truck di samping mengunjungi lebih 20 reruai yang menampilkan produk seni tempatan.

“Pengunjung turut berpeluang meluangkan masa bersama keluarga dengan melawat galeri Balai Seni Negara yang dibuka sehingga jam 10 malam pada Jumaat dan Sabtu, serta Ahad sehingga jam 6 petang,”ujarnya.

Ujarnya lagi, penganjuran program ini mendapat sokongan dan kerjasama daripada pelbagai rakan strategik yang terdiri daripada agensi kerajaan, syarikat korporat dan komuniti seni.

Antaranya, Lembaga Getah Malaysia, Rantai Art, Mono Motion Solution, Art Rebellion, Rolltime Magazine, Eighty Four Animation Studio Sdn. Bhd., Gardenia Malaysia, Nestlé Products Sdn. Bhd., A.W. Faber-Castell (M) Sdn. Bhd., Kadokawa Gempakstarz Sdn. Bhd., Agenda Nasional, Sasbadi Holdings Berhad, AEON Bank serta ST Rosyam Mart Sdn. Bhd.

Tambahnya, program ini turut disokong oleh Ruby Verse, Funcel Sdn. Bhd., Sunway Lagoon Malaysia, LOT 19 Skatepark, GBK Skate Shop, Better Finger, Super Park Malaysia, Shipwreck Skateboards, Sivik Skateboard, Swyx Footwear, Mohle Skateboards, Heveatex (M) Sdn. Bhd. dan Puspanita MOTAC.

Kerjasama ini mencerminkan komitmen pelbagai pihak dalam menyokong usaha Balai Seni Negara memperkasa seni, budaya dan kreativiti sebagai medium penyatuan masyarakat.

Merdeka Suka Cipta bukan sahaja mencetuskan keterujaan melalui pelbagai aktiviti seni dan budaya, malah menjadi platform penting dalam memupuk semangat perpaduan masyarakat yang selari dengan aspirasi Malaysia Madani, menekankan nilai kreativiti, keterangkuman dan kesejahteraan komuniti.

“Memasuki edisi ketiga, program ini terus menjadi medium merentas generasi yang mendorong integrasi sosial melalui penghayatan seni dan budaya tempatan, seterusnya menonjolkan seni dan budaya sebagai wadah penyatuan masyarakat, ”tambah kenyataan itu lagi . -SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat