Rasuah Akibatkan Negara Terbenam Dalam Kemunduran, Kemiskinan – Sultan Nazrin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR -Amalan rasuah di negara ini disifatkan berada pada skala yang membahayakan, berdasarkan teguran laporan Ketua Audit Negara (KAN) secara berulang kali dan pelbagai penemuan dalam Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, atas dasar itu, semua pihak tidak boleh memandang ringan, bersifat leka, memilih melakukan penafian dan memikirkan segala justifikasi bagi menidakkan kewujudan rasuah di hadapan mata.

Titah baginda, semua pihak wajib bersifat berani mengakui, berhubung realiti sedang berlakunya amalan rasuah pada skala yang membahayakan, berdasarkan teguran dan penemuan berkenaan.

Ini kerana menurut baginda, pelakuan rasuah akan tumbuh melebar, subur membesar, lalu diterima sebagai norma sebelum meresap menjadi budaya yang akhirnya memusnahkan sesebuah negara bangsa apabila tiada kesungguhan membanteras jenayah itu.

“Bilangan aduan serta rungutan yang dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta pelbagai agensi dan jabatan, subjek yang terkandung dalam surat layang, berita yang terpapar dalam media, dan isu yang diwarwarkan dalam media sosial, hendaklah dijadikan cermin dan dianggap petunjuk kepada situasi rasuah yang berlaku.

“Malah, jalan raya berlopak, longkang tersumbat, bangunan runtuh, bumbung bocor, pencemaran alam, penerokaan haram, rumput dan taman yang tidak terurus, masing-masing mempunyai bahasa tersendiri, menyampaikan mesej akan standard tadbir urus yang sedang berlaku.

“Selain itu, daripada 180 buah negara yang dilakukan penilaian oleh Transparency International (TI), Malaysia jatuh daripada kedudukan ke-57, mencatat skor 52 pada tahun 2020, kepada kedudukan ke-62 mencatat skor 48, pada tahun 2021.

Malaysia dikelompokkan dalam kumpulan dua pertiga negara yang mencapai skor di bawah 50.

“Sikap dan tindak balas terhadap perkara berkaitan akan menentukan sama ada amalan rasuah mahu dibendung secara bersungguh atau dilakukan sekadar melepaskan batuk di tangga,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berucap pada pelancaran buku tulisan Prof Emeritus Tan Sri Dr M Kamal Hassan bertajuk ‘Korupsi dan Kemunafikan Dalam Politik Melayu, Perlunya Disegerakan Transformasi Moral Etika’.

Pada masa sama, Sultan Nazrin bertitah, penilaian keadaan rasuah, wajib dilakukan secara jujur, ikhlas, objektif, berfakta yang boleh dijadikan bukti bahawa kita sangat serius mahu membendung, malah berhasrat mahu memerangi dan menghapuskan rasuah.

Baginda bertitah, ini kerana rasuah dikenal pasti sebagai salah satu sebab utama yang membantutkan pertumbuhan ekonomi, menghilangkan minat pelaburan asing, meningkatkan kos pentadbiran dan urus niaga, menidakkan rakyat daripada mendapat perkhidmatan, serta mendorong berlakunya ketidakstabilan politik.

Titahnya, rasuah mengakibatkan pembangunan tidak lestari, pencemaran alam sekitar, pengagihan kekayaan tidak seimbang dan ketirisan khazanah negara.

“Banyak negara dianugerahi rahmat Ilahi dengan pelbagai sumber kekayaan, tetapi kerana rasuah, ada negara yang terbenam dalam kemelut kemunduran.

“Ada negara yang tertimbus dalam lumpur kemiskinan. Kekayaan negara disalah guna, hasil mahsul lesap. Akibatnya, kemunduran terus melanda, kemiskinan terus merebak,” titahnya lapor BH.

Baginda bertitah, sifat responsif dan segera melakukan pembetulan bukan sahaja dapat membendung salah laku tadbir urus, malah akan meningkatkan keyakinan dan kepercayaan rakyat kepada kerajaan.

Titahnya, rasuah ialah penyakit dalam masyarakat bersifat barah dan menjalar sedikit demi sedikit bagi merosakkan satu persatu organ organisasi, hingga akhirnya boleh melumpuhkan dan membawa maut jika dibiarkan merebak tanpa disegerakan rawatan.

Sebelum ini Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2020 Siri 1, antara lain mengesan kes pemborosan, pembaziran dan kehilangan atau kerugian wang kerajaan berjumlah hampir RM65 juta.

PAC pula baru-baru ini, menyenaraikan sembilan rumusan sebagai punca kepincangan projek pembinaan enam kapal LCS bagi kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bernilai RM9 bilion.

Laporan PAC itu mendedahkan, kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek lima kapal LCS kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) bagi projek runding terus itu, namun tiada kapal diterima setakat ini.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
230,282FollowersFollow
27,497FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat