Guan Eng senaraikan 10 menteri gagal dalam Kabinet Ismail Sabri

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – 10 Menteri dalam Kabinet Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menonjol kerana gagal mencapai gred sebagai menteri.

Pengerusi DAP, Lim Guan Eng menyenaraikan 10 Menteri Kabinet Ismail Sabri dan menyoal apa tindakan yang akan diambil oleh Perdana Menteri terhadap barisan menteri yang didakwa sebagai gagal dan mengecewakan rakyat Malaysia.

“Pertama, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein kerana menyelia pembelian RM9 bilion enam Littoral Combat Ship (LCS) dan skandal perolehan pertahanan lain yang melibatkan berbilion ringgit.

“Skandal paling keterlaluan ini melibatkan pembayaran RM6 bilion tanpa satu kapal pun siap. Hishamuddin malah telah melancarkan LCS yang tidak lengkap pada 2017 dengan tiang palsu berharga RM400,000 yang kemudiannya dilupuskan,” dakwa Guan Eng dalam kenyataan pada Khamis.

Senarai seterusnya dakwa beliau ialah tiga Menteri PAS iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri , Datuk Idris Ahmad, Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man telah dilabel oleh Mohamad Agus Yusoff daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai tidak cekap.

“Idris adalah pesalah paling teruk yang kerap menggunakan kenyataan perkauman dan ekstremis, termasuk memalukan mangsa, yang mengganggu perpaduan negara dan keharmonian agama.

“Manakala Tuan Ibrahim langsung tidak berkesan dalam menangani banjir besar yang melanda negara. Timbalan Ketua Umno Johor Nur Jazlan Mohamed menyifatkan mereka sebagai menteri berkualiti rendah (menteri cap ayam) yang mengheret kerajaan dengan ketidakcekapan mereka,” dakwanya.

Guan Eng turut menamakan , Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan kerana gagal menunaikan janjinya untuk menyelesaikan kekurangan buruh asing dengan hanya 47,000 buruh asing dibawa masuk, kadar kejayaan hanya 12 peratus daripada 385,000 kelulusan yang diberikannya sejak Januari tahun ini.

“Keenam, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong kerana berdegil menolak untuk memberikan pengecualian kepada dasar kabotaj yang akan membenarkan kapal asing membaiki kabel dasar laut, menyebabkan kerugian berbilion ringgit pelaburan digital dan memberikan fakta salah yang begitu menyedihkan mengenai nahas helikopter baru-baru ini di Bidor.

“Ketujuh, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun kerana gagal mempertahankan maruah wanita dan menutup mata terhadap diskriminasi gender.

“Kelapan, Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa kerana kegagalannya yang teruk untuk membendung inflasi apabila beliau mengambil alih pasukan petugas khas Kabinet menangani inflasi pada Jun tetapi inflasi dan inflasi makanan masing-masing meningkat daripada 3.4 peratus dan 6.1 peratus pada Jun kepada 4.4 peratus dan 6.9 peratus pada Julai. Ini menyebabkan Bank Negara menaikkan Kadar Dasar Semalaman sebanyak 25 mata asas kepada 2.5 peratus untuk mengawal inflasi,” ujarnya.

Senarai kesembilan, dakwa Guan Eng ialah Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim kerana gagal mencari penyelesaian ke arah kesesakan lalu lintas yang semakin teruk dan projek tebatan banjir di Kuala Lumpur.

Katanya, Shahidan lupa bahawa Kuala Lumpur – bandar antarabangsa dan mengamalkan dasar ekstremis PAS dengan mengambil langkah ke arah mengharamkan konsert artis antarabangsa, penjualan arak di kedai ubat tradisional Cina.

“Kesepuluh, Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mustapa Mohamed kerana gagal menguruskan ekonomi, di mana Ismail Sabri telah mempersoalkan kritikan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap pengurusan ekonomi yang gagal berkaitan pengendalian inflasi dan kejatuhan nilai ringgit berbanding dolar AS, dolar Singapura dan rupiah Indonesia,” dakwanya lagi.

Justeru beliau bertanya, adakah Ismail akan melakukan apa yang sepatutnya terhadap menteri-menteri yang gagal ini untuk mengurangkan penderitaan rakyat Malaysia, atau adakah beliau akan memilih untuk mengadakan pilihan raya umum tahun ini untuk menutup prestasi gagal kerajaannya?

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
230,282FollowersFollow
27,496FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat