Alicia lega perjuangan terhadap rakan setugas membuahkan hasil

- Advertisement -

Kuala Lumpur: Pelakon dan model jelita, Alicia Amin yang membawa sepanduk di Minggu Fesyen Kuala Lumpur 2022 (KLFW022) bulan lalu bagi membantu rakan dalam bidang peragaan berkenaan isu bayaran tertangguh meluahkan rasa lega apabila isu terbabit menemui jalan penyelesaian.

Alicia berkata, seramai lapan individu yang tampil bertemu dengannya memaklumkan sudah menerima bayaran penuh selain ada yang menanti bayaran pada hujung bulan ini.

“Saya rasa lega apabila perjuangan saya terhadap model-model dalam industri fesyen akhirnya menerima maklum balas positif. Lapan individu yang datang bertemu saya sebelum ini sudah menerima bayaran.

“Namun berbaki tiga model saja yang belum dibayar dan pihak penganjur berjanji untuk menyelesaikan pada hujung bulan ini.

“Walaupun ada syarikat guaman yang menawarkan kepada saya untuk membawa isu ini di mahkamah, tapi saya berbincang secara baik dengan penganjur sekiranya bayaran tidak dilunaskan segera,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem Rasuk di GSC Tropicana Mall, Petaling Jaya, Selangor, semalam.

Menurut Alicia, sejak insiden itu dia dihujani ucapan terima kasih daripada model kerana menyuarakan masalah yang berlaku selain tidak berdepan isu bayaran tertangguh pada edisi kali ini.

“Ketika saya terbabit dalam KLFW 2022 dan ke ruangan belakang pentas ramai model yang berterima kasih kerana mereka sudah menerima bayaran pada penganjuran tahun ini.

“Walaupun saya rasa serba salah kerana saya pernah bekerja dengan penganjur itu tapi saya pernah ajak mereka berbincang sebelum ini tapi tiada tindakan dibuat. Disebabkan itu saya nekad membuat ‘mogok’ pada acara itu.

“Saya gembira apabila ada model dapat menggunakan duit yang dituntut selama ini untuk urusan perkahwinannya,” katanya.

Selain Alicia, filem Rasuk turut dibintangi oleh Ikmal Amry, Elisya Sandha, Taufiq Hanafi, Atiq Azman dan ramai lagi.

Filem terbitan Multimedia Entertainment, Golden Screen Cinemas, Astro dan Sixfun Media itu bakal menemui penonton di pawagam pada 29 September ini.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat