Hantar petugas kesihatan ke negeri kes tinggi, tak perlu bina hospital khas COVID-19 -Khairy

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengumumkan Kementerian Kesihatan (KKM) menubuhkan Pasukan Petugas Tindak Balas Pantas Nasional bagi memobilisasikan kakitangan kesihatan ke negeri yang direkod mempunyai peningkatan kes COVID-19.

Katanya, ia bagi mengelak kepenatan dalam kalangan petugas barisan hadapan berikutan beban kerja yang semakin bertambah akibat peningkatan kes.

Ujar beliau, menerusi pasukan petugas itu, petugas kesihatan di arah ke negeri yang mengalami peningkatan kes COVID-19 iaitu Pulau Pinang dengan 223 petugas kesihatan, Kedah (156) dan Sabah (102).

“Apabila kita meningkatkan kapasiti sama ada katil modular unit rawatan rapi (ICU) atau hospital medan, ia memerlukan kerja tambahan dan saya sudah mengarahkan penubuhan Pasukan Petugas Tindak Balas Pantas Nasional.

“Kakitangan kesihatan ini akan bergilir ke negeri mengalami peningkatan kes bagi memastikan mereka tidak menghadapi kelesuan atau keadaan tidak terkawal akibat penambahan bebanan tugas,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, pada Rabu.

Beliau menjawab soalan tambahan Teo Nie Ching (PH-Kulai) sama ada kerajaan bercadang menambah bilangan kakitangan kesihatan susulan penambahan katil bagi rawatan COVID-19 di hospital.

Khairy berkata, sejumlah RM593 juta dibelanjakan KKM dalam tempoh dua tahun ini bagi peruntukan peralatan tambahan dalam rawatan COVID-19 termasuk penambahan katil ICU, ventilator dan kontena.

Selain itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Rembau memberitahu, kerajaan tidak bercadang menubuhkan hospital khusus untuk merawat pesakit COVID-19.

Khairy sebaliknya berkata, kerajaan mengekalkan hospital sedia ada untuk merawat jangkitan tersebut sama ada secara penuh atau hibrid di semua negeri.

“Buat masa ini, untuk memastikan kapasiti kepada kes-kes jangkitan COVID-19, kita masih kekalkan beberapa hospital sebagai hospital COVID-19 sama ada secara hospital COVID penuh atau hibrid yang dapat merawat kes-kes Covid-19.

“Perancangan itu saya tak boleh sebut berapa lama sebab kita harap bahawa dengan penurunan kes-kes kemasukan di hospital lebih banyak, hospital-hospital hibrid yang mana sebahagian daripada wadnya diambil alih untuk menguruskan rawatan Covid-19 dapat dijadikan semula sebagai hospital biasa,” katanya bagi menjawab soalan jawab lisan daripada Datuk Abdullah Sani (PKR-Kapar) meminta kerajaan menjelaskan apakah kini dalam perancangan untuk menubuhkan hospital kekal khusus untuk Covid-19 dan peralatan yang cukup di setiap negeri untuk diasingkan dengan pesakit lain supaya tidak berlaku jangkitan berganda.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat