TUDM gantung serta-merta operasi pesawat tempur model Hornet

KUALA LUMPUR – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menggantung sementara operasi penerbangan F/A-18D miliknya susulan kemalangan membabitkan pesawat model itu di Pangkalan Udara Kuantan, malam tadi.

Panglima TUDM Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris berkata, satu lembaga penyiasat turut ditubuhkan bagi mengendalikan siasatan, terutama untuk mengenal pasti punca kejadian itu.

Lembaga penyiasat itu, katanya akan dianggotai pegawai kanan TUDM dengan pihak berkenaan sudah pun memulakan siasatan hari ini.

“Siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian dijangka mengambil masa dua minggu,” katanya pada sidang media di Pangkalan Udara Kuantan pada Jumaat.

Ditanya mengenai andaian kejadian itu turut membabitkan ‘bird strike’ atau serangan burung, Muhamad Norazlan berkata ia belum dapat dipastikan.

“Saya sudah meneliti video tular kejadian dan tidak dapat memastikan serangan burung atau bahan asing sebagai punca pesawat itu terhempas.

“Siasatan menyeluruh sedang dilakukan dan disahkan pesawat digunakan sejak 1997 itu rosak keseluruhan,” katanya.

Dalam pada itu, Muhamad Norazlan mengesahkan dua pegawai TUDM yang terbabit dalam kejadian malam tadi disahkan sebagai juruterbang berpengalaman.

Menurutnya, juruterbang pesawat, Mejar Mohamad Azhar Alang Kamarudin, 34, dan jurusensor pesawat, Kapten Mohamad Izzudin Mohamad Salleh, 28, dari 18 Skuadron Butterworth, Pulau Pinang.

Katanya, skuadron terbabit ditempatkan sementara di Pangkalan Udara Kuantan, sejak Jun lalu.

“Ketika kejadian pesawat itu sedang melakukan latihan penerbangan malam,” katanya lapor BH di Kuantan.

Dalam kejadian kira-kira jam 9:05 malam tadi, pesawat F/A-18D Hornet terbabit terhempas ketika hendak berlepas di landasan Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah di Kuantan.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat