KUALA LUMPUR – Polis telah menyerahkan lima kertas siasatan kepada Pejabat Peguam Negara berhubung kes pemasangan dan pengibaran bendera secara terbalik menjelang sambutan Hari Kebangsaan.
Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, setakat ini, enam kes dilaporkan membabitkan dua kes di Johor, dua di Pulau Pinang serta masing-masing satu di Selangor dan Negeri Sembilan.
Khalid menggesa semua pihak untuk tidak cuba menimbulkan suasana tidak harmoni susulan daripada kejadian yang berlaku.
“Setakat ini enam kes sudah diambil tindakan susulan membabitkan masing-masing dua kes di Johor dan Pulau Pinang dan masing-masing satu kes di Selangor dan Negeri Sembilan.
“Daripada jumlah itu, lima kes sudah dibuka kertas siasatan selain proses merakam keterangan juga sudah dilaksanakan,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman, pada Jumaat.
Khalid berkata, lima kertas siasatan itu telah dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut manakala satu lagi kes masih berada dalam siasatan.
“Di sini, saya ingin mengingatkan semua pihak agar sentiasa menghormati undang-undang serta menjaga keharmonian khususnya ketika negara bakal menyambut Hari Kebangsaan.
“Elakkan daripada melakukan perkara-perkara yang boleh mengganggu-gugat keharmonian serta perpaduan antara kaum,” katanya memetik BH.
Katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus melaksanakan langkah-langkah penguatkuasan terhadap mana-mana pihak yang bertindak di luar batas undang-undang.
Terdahulu, beliau menghadiri majlis penyerahan empat unit kenderaan Armoured Personnel Carrier (APC) bagi memperkukuh keupayaan Skuadron Perisai Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman.
Kenderaan berkenaan diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Global Komited Sdn Bhd, Datuk Ir Mohd Nasser Israil kepada Mohd Khalid.
Beliau berkata, perolehan bernilai RM10.72 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (Rolling Plan 1) itu dilaksanakan dengan tempoh kontrak 24 bulan bermula 30 Mac 2024 hingga 29 Mac 2026.
“APC jenama International Armoured Group (IAG), model IAG Guardian CEN Level B6, berupaya membawa lapan penumpang serta dilengkapi sistem komunikasi dan ciri keselamatan taktikal termasuk Radio VHF RMPNet, Portable Tactical Communication, Heavy Duty Winch, tayar runflat serta sistem gantungan heavy duty,” katanya.
Menurutnya, Skuadron Perisai PGA memainkan peranan penting dalam operasi lapangan termasuk perlindungan perisai, bantuan tembakan, rondaan kawasan, pengiring konvoi, sekatan jalan raya, pembersihan halangan, penghantaran logistik serta operasi menyelamat di kawasan krisis, selain mendirikan pos pemerhati.
Khalid berkata, daripada empat unit itu, dua APC akan ditempatkan di Briged Tengah, satu di Briged Utara dan satu lagi di Briged Tenggara.
“Kenderaan sama turut digunakan oleh pelbagai agensi keselamatan antarabangsa termasuk Pasukan Pengaman UNIFIL (MALBATT), Lithuania Public Security Service, Chile Gendarmerie, Bulgaria Special Forces, People’s Public Security of Vietnam, Senegal Police Force dan Nigeria Armed Forces, sekali gus membuktikan keberkesanan serta keupayaannya di lapangan,” katanya.



