KUALA LUMPUR – Wanita Umno mencadangkan satu kajian semula yang menyeluruh melibatkan satu pendekatan yang lebih berhemah dan berperingkat dalam rasionalisasi subsidi.
Ketuanya, Datuk Seri Noraini Ahmad sekali gus menyeru kerajaan untuk mempertimbangkan semula pendekatan kerajaan terhadap subsidi.
“Kami, Wanita Umno, menyambut baik usaha kerajaan melalui inisiatif seperti Bantuan Tunai Rahmah. Namun,berdasarkan pengalaman kami di lapangan, ini hanyalah setitis air di padang pasir kemiskinan yang semakin meluas.
“Wanita Umno mengambil kesempatan ini menyeru kerajaan untuk mempertimbangkan semula pendekatan kita terhadap pembangunan ekonomi.
“Kita memerlukan satu pendekatan yang lebih holistik, yang bukan sahaja memberi bantuan jangka pendek, tetapi membawa rakyat keluar terus dari kitaran kemiskinan secara total,” katanya ketika Perhimpunan Wanita Umno pada Khamis.
Justeru, Noraini berkata Wanita Umno juga menyeru kerajaan untuk mempertimbangkan semula pendekatan kita terhadap subsidi.
“Ya, kami faham keperluan untuk mengoptimumkan perbelanjaan kerajaan.Tetapi kita juga perlu memahami bahawa setiap ringgit yang dikurangkan dari subsidi adalah satu pukulan berat kepada rakyat yang sudah terbeban. Kami mencadangkan satu kajian semula yang menyeluruh, satu pendekatan yang lebih berhemah
dan berperingkat dalam rasionalisasi subsidi.
“Juga tidak mengabaikan golongan M40, yang terlalu “kaya” untuk layak menerima bantuan, tetapi terlalu “miskin” untuk hidup selesa dalam zaman ekonomi moden ini,” katanya.
“Tetapi, apa yang kami saksikan di peringkat akar umbi jauh berbeza. Kami melihat ibu tunggal yang terpaksa memilih antara membeli buku untuk anaknya atau membayar bil elektrik. Kami bertemu dengan graduan muda yang terpaksa menjual nasi lemak kerana tidak mendapat pekerjaan yang setaraf dengan kelayakan mereka.
“Kami mendengar keluhan peniaga kecil yang tersepit di celah-celah pusat membeli-belah mewah, berjuang setiap hari untuk mengekalkan perniagaan mereka.
“Inilah realiti ekonomi rakyat yang tidak boleh kita abaikan. Perusahaan kecil dan sederhana, pertanian skala kecil, ekonomi informal – inilah nadi yang menggerakkan sebahagian besar kehidupan rakyat Malaysia, terutamanya di kawasan luar bandar,” jelas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Menurut Noraini, Umno telah membuktikan komitmen yang tidak berbelah bahagi dalam membela nasib rakyat Malaysia dari segi ekonomi sejak merdeka lagi.
“Sebagai tonggak Barisan Nasional selama berdekad-dekad, Umno telah menerajui pembangunan negara dan mengangkat taraf hidup rakyat.
“Semenjak merdeka zaman Tunku Abdul Rahman, sehinggalah ke era Datuk Seri Najib Razak. Sehingga kini, ramai yang merindui zaman Bossku.
“Dengan pengalaman Umno mentadbir negara dan pemahaman mendalam tentang isu-isu di peringkat akar umbi, kami menawarkan diri sebagai jambatan antara aspirasi pembangunan negara dan realiti kehidupan rakyat,” katanya.