KUALA LUMPUR – Pas mendesak kerajaan tidak mempertahankan pihak yang terkait dengan pesta gay di Kelantan.
Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari mempersoalkan percanggahan kenyataan antara polis dan Kementerian Kesihatan.
“Pesta gay atau program kesihatan? Kenapa polis cakap lain, Menteri Kesihatan cakap lain?
“Saya harap jangan ada sebarang usaha mempertahankan mana-mana pihak yang terlibat dengan pesta gay.
“Walaupun berlaku di Kelantan, kita mahu pihak polis heret mereka sehingga ke akar umbi,” desak Ketua Penerangan Pas itu.
Sebelum itu media melaporkan, Kementerian Kesihatan mengesahkan bahawa program yang diserbu polis Kelantan bulan lepas atas alasan “pesta gay” sebenarnya program kesedaran kesihatan berkaitan HIV.
Bagaimanapun, kementerian tidak memberikan sebarang ulasan mengenai serbuan polis tersebut.
Pengesahan itu dibuat menerusi jawapan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dzulkefly Ahmad di X malam tadi, sebagai respons kepada hantaran yang memintanya mempertahankan program kesedaran HIV itu.
Dalam jawapannya, Dzulkefly memuat naik terjemahan Bahasa Inggeris kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengarah Kesihatan Kelantan Dr Zaini Hussin semalam yang juga dilampirkannya berkenaan program tersebut.
Dalam kenyataan itu, Zaini menjelaskan bahawa program tersebut dianjurkan oleh sebuah NGO tempatan, Sahabat, yang berada bawah pengawasan Yayasan Bantuan Aids.
Katanya, Sahabat telah menjadi rakan strategik Jabatan Kesihatan Kelantan sejak 2006 dalam melaksanakan program pendidikan kesihatan dan aktiviti lapangan yang mensasarkan kumpulan berisiko tinggi termasuk penagih dadah suntikan dan lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki.
Ini bertujuan meningkatkan kesedaran tentang HIV, jangkitan kelamin, dan Hepatitis C.
Dzulkefly juga menegaskan bahawa kerjasama antara Kementerian Kesihatan, jabatan kesihatan negeri, dan NGO kesihatan penting dalam mendekati kumpulan berisiko tinggi untuk meningkatkan kesedaran mereka tentang strategi pencegahan, kepentingan diagnosis awal, dan manfaat rawatan awal.
“Kementerian Kesihatan tetap komited dengan pendekatan kesihatan awam yang mengutamakan pencegahan penyakit, intervensi awal, dan akses kepada rawatan untuk semua, selaras dengan dasar kesihatan negara mengikut nilai agama dan sensitiviti budaya,” tambahnya.
Pada 17 Jun, polis menyerbu program tersebut pada jam satu pagi dan merampas ubat HIV serta kondom.
Ketua Polis Kelantan Yusoff Mamat mendakwa operasi itu dijalankan berdasarkan maklumat awam dan risikan yang dikumpul oleh pasukan khas berikutan aduan tentang majlis bertemakan makanan yang dipercayai dianjurkan khas untuk komuniti gay.
Bagaimanapun, beberapa NGO menolak dakwaan bahawa program itu adalah “pesta gay”.
Sebaliknya, mereka menjelaskan bahawa program tersebut memberikan maklumat kesihatan seksual dan berkaitan HIV, kondom, serta ujian sukarela untuk menggalakkan amalan seksual yang lebih selamat.
Majlis Aids Malaysia – yang turut terlibat – menambah bahawa sesi tersebut berlanjutan hingga lewat malam kerana ujian HIV dilakukan secara sulit dan profesional, mengambil masa kira-kira 10 hingga 15 minit bagi setiap klien. Mereka yang mempunyai keputusan reaktif diberikan kaunseling dan dirujuk untuk tindakan susulan.



