KUALA LUMPUR – Hanya Mahkamah boleh dapati seseorang itu bersalah, bukannya Perdana Menteri atau Kabinet.
Ketua Penerangan Pejuang Rafique Rashid menempelak bahawa mahkamah bersidang di mahkamah bukan di Dewan Rakyat.
“Ini perkara asas yang budak sekolah menengah pun faham.
“Seorang perdana menteri mesti berkata benar. Kalau tidak buruk pada mata rakyat.
“Batu Puteh, hatinya hitam,” bidas beliau.
Rafique yang juga pengamal undang-undang mengemukakan beberapa fakta terkait kronologi Siasatan Diraja (RCI) Batu Puteh.
“Perdana Menteri kata Tun Dr Mahathir Mohamad bersalah, tapi Kabinet kasihan sebab umornya 100. Tidak mahu teruskan.
“RCI Batu Puteh syorkan laporan polis untuk dakwaan kesalahan jenayah Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan. Kesalahan tipu.
“Kabinet sebelum ini bawa usul RCI ini bentang di Parlimen. Teruk Menteri Azalina diserang. Sampai 47 muka surat hilang , blank , tiada sebab. Usul itu tidak diundi kerana ditarik balik.
“Mana laporan polis oleh kerajaan? Mana laporan polis oleh isteri PM, Anthony Loke, Mohamed Sabu antara yang ada dalam mesyuarat Kabinet PH 1.0 dulu masa keputusan Batu Puteh dibuat? Masa itu mereka tidak ditipu? soal beliau.
Tegas Rafique lagi, RCI pula badan yang tiada kuasa untuk dakwa atau hukum sesiapa.
Jelas beliau, RCI hanya siasat dan syor.Tidak lebih dari itu.
“RCI ini pula jelas berat sebelah bila ahli-ahlinya ada yang konflik kepentingan.
“Mana pertuduhan terhadap Tun M? Mana perbicaraan terhadap Tun M? Bila Tun M dipanggil bela diri? Mahkamah mana yang dapati Tun M bersalah?
“Perdana Menteri bukan polis yang siasat, bukan pendakwa yang bawa pertuduhan, bukan hakim yang jatuhkan sabitan dan hukuman.
“Hanya mahkamah boleh dapati seseorang itu bersalah. Bukan Perdana Menteri atau Kabinet,” tempelak beliau.
Hari ini Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan Kabinet memutuskan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung isu Batu Puteh atas faktor usianya yang sudah lanjut.
Perdana Menteri menegaskan, kerajaan bagaimanapun berpendirian Dr Mahathir tetap bersalah kerana keputusan beliau sebagai Perdana Menteri pada 2018 yang melepaskan Batu Puteh dengan begitu mudah kepada Singapura.
“Kita ambil keputusan kerana ia membabitkan bekas Perdana Menteri, yang usianya 100 tahun.
“Apakah beliau tidak salah? Beliau salah. Apakah perlu ambil tindakan? Saya di Jemaah Menteri, saya bersetuju jangan ambil tindakan.
“Jika ambil tindakan, Kota Bharu (merujuk Datuk Seri Takiyuddin Hassan) yang akan jerit kata kita tidak adil tapi saya tanpa membabitkan soal ini kerana usianya sudah 100 tahun.
“Salah besar dalam hal ini tetapi kita tak payahlah teruskan (ambil tindakan),” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.



