Rock 3 generasi

- Advertisement -

BUAT julung kalinya tiga pemuzik terkenal dari tiga generasi berbeza disatukan menerusi Konsert YOLO Live Sessions: 3 Generasi.

Tentunya satu kegembiraan buat peminat Noh Salleh, kumpulan Spider dan band bertaraf legenda, XPDC yang digandingkan di pentas berprestij.

Noh Salleh berkata, dia amat teruja kerana dapat beraksi di Zepp Kuala Lumpur kerana pentas ini hanya ada di Malaysia dan Taiwan.

“Semua artis Asia teringin lokasi ini. Sebagai penghibur saya pasti akan memberikan persembahan terbaik nanti.

“Peminat saya juga boleh menonton persembahan XPDC dan Spider serta bertukar-tukar pengalaman.

“Persediaan saya ialah pastikan persembahan ini hidup. Rasanya persembahan solo saya mencukupi. Kalau nak kejar level XPDC dan Spider rasanya sukar,” katanya.

Manakala XPDC dan Spider menganggap tempoh persembahan selama 45 minit menjadi medan pemanas badan sebelum mereka bertemu peminat dalam konsert solo selepas ini.

Sementara itu, Pengasas YOLO Asia, Ib Harun berkata, tiba masanya untuk bintang rock popular dan kesayangan tanah air diberi penghormatan melalui sebuah persembahan live bertaraf antarabangsa bagi kepuasan peminat.

“Selepas berbincang, kami mengambil keputusan untuk menghimpunkan tiga nama besar bintang rock negara yang mewakili tiga generasi berbeza.

“YOLO Live Sessions adalah sebuah platform acara yang diwujudkan khusus untuk membantu pengkarya muzik kembali beraksi di pentas persembahan ketika dunia dilanda musibah Covid-19.

“Platform terbabit sudah pun dikelolakan YOLO Malaysia dengan membawakan beberapa siri acara atas talian yang kenali sebagai YOLO Live Sessions,” katanya.

Ketika negara masih berdepan pandemik Covid-19, YOLO Malaysia menganjurkan lima konsert yang disifatkan berjaya mendapat sambutan hangat.

Apabila memasuki fasa endemik, mereka melihat tiba masanya bintang rock tanah air diberi penghormatan melalui sebuah persembahan live bertaraf antarabangsa.

Penerbit Eksekutif YOLO Malaysia, Haniff Hamzah pula berkata, Konsert YOLO Live Sessions: 3 Generasi itu tidak seperti konsert biasa kerana tiga genre muzik rock berbeza bakal dipersembahkan khas buat penonton.

“Ia lebih memfokuskan untuk ‘kaki rock’ yang sudah lama menginginkan persembahan secara langsung dari artis serta band kegemaran mereka selain berpeluang mendekati bintang rock kesayangan mereka.

“Seperti Noh Salleh yang mewakili generasi muda, kumpulan Spider yang sering berada di carta tertinggi dan legenda rock negara iaitu XPDC.

“Saya juga cuba mengangkat darjat XPDC yang sebelum ini cukup terkenal dengan gelaran Raja Funfair. Ini masanya untuk mereka beraksi di lokasi hebat dan membuktikan kemampuan sebenar mereka,” katanya.

Menurutnya lagi, ramai peminat rock tegar yang ternanti-nanti kesempatan menyaksikan persembahan secara live dan berpeluang untuk ‘sing-along’ dengan artis kegemaran mereka.

Konsert YOLO Live Sessions: 3 Generasi berlangsung di Zepp Kuala Lumpur, Bukit Bintang pada 27 Ogos depan dengan tiket dijual dari harga RM288 hingga RM6,288.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat