SHAH ALAM – “Tiada (dalam) perkiraan kita untuk anakanda saya bertanding parlimen pekan atau apa-apa jawatan tertentu . Ia terpulang pada apabila sampai masanya.”
Demikian kata bekas Perdana Menteri yang juga Anggota Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak apabila ditanya sama ada beliau sedang mempersiapkan anaknya untuk menjadi calon di Parlimen Pekan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 akan datang.
Wala bagaimanapun menurut Najib, tidak menjadi kesalahan untuk mana-mana anak kepada pemimpin politik untuk menceburkan diri dalam bidang tersebut selagi tidak menyalahgunakan kuasa dan kedudukan bagi mengangkat ahli keluarga dalam politik.
Tambahnya, di parti lain juga dua generasi dalam sebuah keluarga yang menceburkan diri dalam politik adalah menjadi kebiasaan.
“Tapi hakikatnya, apa bezanya Dr. Mahathir ada Mukhriz, Lim Kit Siang ada Lim Guan Eng, Anwar Ibrahim ada Nurul dan Wan Azizah.
“Jadi ini tidak timbul soal nepotisme, tapi kebetulan kalau dalam keluarga kita ada anakanda kita yang minat politik, (kita) tidak boleh menghalang dia.
“Asalkan kita tidak membuat sesuatu yang boleh dilihat sebagai keterlaluan hendak beri peluang atau mengangkat seorang anggota keluarga kita, itu boleh dituduh,” katanya dalam sebuah rancangan yang disiar secara langsung oleh Sinar hari ini.
Media sebelum ini melaporkan anak Najib, Mohd Nizar Najib merupakan calon terbaik untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Chini yang diadakan pada awal bulan lalu.
Untuk rekod, Nizar dilantik sebagai Ketua Pemuda Umno Pekan yang baharu selepas diumumkan menang tanpa bertanding.
Mohd Nizar, 40, menggantikan Datuk Shahruddin Ahmad yang memegang jaatan itu bagi penggal lalu selepas Shahruddin tidak bertanding pada pemilihan kali ini apabila sudah melepasi syarat kelayakan umur bagi pertandingan jawatan ketua pemuda.