Mengapa Diconteng Mural Potret Tuanku?

- Advertisement -

Oleh: Syed Azwan Syed Ali

JIKA Malaysia mempunyai undang-undang ‘Lese Majeste’ sepertimana di Thailand, tidak mungkin perbuatan tidak beradab menconteng mural potret Yang di-Pertuan Agong di dinding bangunan kedai di Taman Cahaya Alam, Seksyen U12 Shah Alam kelmarin, akan berlaku.

Sekurang-kurangnya pelaku terbabit, dipercayai dua wanita yang kini dikesan pihak berkuasa, akan berfikir dua kali untuk berbuat demikian.

Ini kerana melalui undang-undang Lese Majeste yang berasal dari bahasa Latin bermaksud “menderhaka kepada raja” di Thailand itu, ia memperuntukkan hukuman keras antara tiga tahun hingga 15 tahun penjara, jika sabit kesalahan.

Undang-undang yang diperkenalkan pada 1908 melalui Seksyen 112 Kanun Jenayah Thailand itu melarang sebarang bentuk perbuatan yang bersifat menghina dan mempersenda institusi raja.

Undang-undang Lese Majeste terpakai bukan hanya untuk rakyat Thailand, tetapi juga warga asing.

Perbuatan melampaui batas

Persoalannya, adakah perbuatan menconteng mural potret pemimpin-pemimpin negara, termasuk potret Seri Paduka Baginda, yang ditulis dengan perkataan-perkataan amat biadab dengan cat merah itu boleh disifatkan sebagai melampaui batas?

Atau ia sekadar dianggap sebagai perbuatan vandalisme yang mungkin tidak menyampaikan mesej yang jelas kepada masyarakat mengenai kedudukan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaku ketua negara yang wajar diletakkan di kedudukan tertinggi dan tidak boleh dipersendakan?

Penulis berpandangan insiden menconteng mural potret pemimpin negara, termasuk potret Yang di-Pertuan Agong, adalah perbuatan menghina raja dan negara serta perlu diambil tindakan sekeras-kerasnya.

Derhaka kepada Raja?

Di sebalik motif perbuatan itu yang masih samar, insiden itu amat mendukacitakan dan menimbulkan kemarahan ramai sehingga pemimpin politik di blok pemerintah dan pembangkang mengecam perbuatan itu.

Apatah lagi ia berlaku ketika negara sedang menyambut ulang tahun ke-50 sambutan Rukun Negara yang meletakkan institusi di raja di kedudukan tinggi di sebalik prinsip kedua “Kesetiaaan Kepada Raja dan Negara”.

Harus kita ingat, Rukun Negara itu sendiri lahir pada 31 Ogos 1970 pada sambutan ke-13 kemerdekaan Malaysia selepas episod hitam 13 Mei 1969 yang menyaksikan perpaduan negara diuji melalui perbalahan kaum akibat sengketa politik.

“Perbuatan itu (menconteng mural potret pemimpin negara, termasuk Seri Paduka Baginda, dengan perkataan kesat) sendiri menggambarkan sifat tidak setia dan cinta kepada raja dan negara,” kata pakar undang-undang dan perlembagaan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr Shamrahayu Abdul Aziz.

Setakat artikel ini ditulis, pelaku yang dipercayai dua wanita melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sedang dikesan pihak berkuasa dan akan disiasat di bawah Seksyen 504 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Jika diteliti, Seksyen 427 merujuk kepada perbuatan khianat, manakala Seksyen 504 pula merujuk kepada perbuatan dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan perpecahan keamanan.

Bukan kes terpencil

Apa yang pasti, perbuatan menconteng mural potret pemimpin negara itu, termasuk potret Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah yang dianggap hero “frontliner” negara dalam berdepan COVID-19 serta beberapa figura penting lain, menimbulkan perasaan tidak senang dalam kalangan rakyat.

Di sebalik kecaman ke atas perbuatan itu, Dr Lim Swee Tin yang juga pakar bahasa, ketika dihubungi penulis menimbulkan persoalan yang penting untuk kita semua memahami di sebalik perbuatan khianat itu.

“Nampaknya, kita seperti gagal membentuk keperibadian dan jati diri yang beridentitikan Malaysia,” kata Lim yang menerbitkan ratusan buku puisi bertemakan perpaduan bangsa Malaysia.

Lim berkata perkataan “bangsat” digunakan pelaku menggambarkan sesuatu yang tidak kena dengan diri si pelaku kerana perkataan itu jarang-jarang digunakan dalam perbualan harian.

Perbuatan menconteng mural potret pemimpin negara, termasuk potret Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini, bukan kes terpencil yang perlu dipandang sebelah mata oleh pihak berkuasa.

Apa yang pasti, ada sesuatu yang tidak kena dengan masyarakat Malaysia. Di saat kita maju dalam pendidikan dan universiti kita mencapai penarafan antarabangsa, kita sebenarnya semakin mundur di dalam adab dan peradaban sebagai sebuah bangsa berbudaya.

Atau mungkinkah Malaysia memerlukan undang-undang ketat seperti Lese Majeste dalam mendidik rakyatnya?

– BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat