JAKOA bantu usahawan Orang Asli tingkat pendapatan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) menyediakan Program Pembangunan Usahawan Orang Asli sebagai inisiatif meningkatkan sosioekonomi serta mengembangkan perniagaan mereka.

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, melalui program ini, usahawan Orang Asli boleh mengembangkan perniagaan mereka melalui bantuan geran yang berbentuk premis perniagaan, peralatan perniagaan (bersesuaian dengan bidang perniagaan yang diceburi seperti kedai runcit, kedai makan, kedai jahit, bengkel kenderaan, kafe siber, kedai kraftangan dan lain-lain) dan kursus.

“JAKOA turut melaksanakan program bimbingan seperti kursus, latihan serta pameran dan jualan produk bagi mempromosi produk keluaran usahawan Orang Asli. Pada tahun 2020, sebanyak RM2 juta telah diperuntukkan bagi program ini.

“Manakala Program Bantuan Geran Kepada Koperasi Orang Asli telah diwujudkan untuk membantu koperasi Orang Asli melalui sumber kewangan dalam memperkukuhkan fungsi sedia ada dan memperluaskan fungsi koperasi ke bidang-bidang strategik yang baharu bagi program pembangunan ekonomi masyarakat Orang Asli,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Sehingga kini, ujar Zahid sebanyak 11 jenis kursus telah dilaksanakan oleh Unit Pembangunan Usahawan JAKOA yang telah disertai oleh usahawan dan ahli lembaga koperasi Orang Asli.

“Saya percaya, usaha dan agenda peningkatan taraf hidup rakyat terutamanya masyarakat desa sentiasa menjadi komponen utama kerajaan dalam memastikan peningkatan kesejahteraan hidup dan pembangunan sosiokenomi negara secara keseluruhannya,” ujarnya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat