U.K’s beri hadiah paling manis

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dengan aksi memukau, tidak sukar mengakui vokalis, Amir dan teman-teman dalam kumpulan U.K’s, berjaya memberi justifikasi terhadap perjuangan lebih 25 tahun mereka dalam dunia muzik pada persembahan dua malam di Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ternyata, vokal lemak merdu, Amir atau nama sebenar, Mohd Azmir Muhammad Yusof masih berbisa, ampuh dan menjadi kekuatan Konsert U.K’s Reunion 25 Tahun selama lebih dua jam itu.

Biarpun berdepan masalah pita suara atau ‘vocal cord’ hingga dipantau doktor, Amir yang mendendangkan lebih 20 lagu ‘berhantu’ kumpulan yang popular pada era 1990-an itu, ‘hanyut’ membuai emosi peminat sepanjang konsert.

Bertemu Amir usai persembahan, penyanyi berusia 53 tahun ini berkongsi detik cemas sebaik mendapat tahu berlaku kecederaan pada pita suaranya.

“Apabila perlu menyanyi puluhan lagu untuk konsert ini, tekak saya perlu dipantau. ‘Vocal cord’ saya perlu diperiksa.

“Tambahan pula, menjelang konsert, saya banyak berlatih menyanyi.

“Sebelum ini, ada kamera dimasukkan melalui hidung saya untuk melihat sama ada terbentuk bengkak atau luka pada bahagian pita suara.

“Selepas diperiksa, doktor beritahu ada sedikit luka. Apabila terjadi masalah begini, ia mengganggu tumpuan. Jadi, saya diberikan ubat dan dinasihat mendapatkan rehat cukup,” katanya kepada BH Online.

Memberi komitmen tidak berbelah bahagi, persembahan Amir mendapat sambutan hangat penonton. Malah, dewan gah itu umpama bertukar menjadi pusat karaoke terbesar apabila penonton turut menyanyi lagu didendangkan.

“Konsert sulung ini, biarpun direalisasikan selepas 25 tahun kumpulan ini ditubuhkan, ia menjadi bukti kami masih teguh berdiri.

“Terima kasih kepada penganjur, penaja dan IB atas peluang ini. Tidak dilupakan penonton dan peminat kami. Mereka yang datang pasti membesar dengan lagu kami,” kata Amir yang membuka persembahan dengan lagu Kau Satu-Satunya.

 

Amir kali pertama mengundang pengasas kumpulan U.K’s, Saari Amri menyanyi satu pentas bersama.

Amir membuai nostalgia peminat dengan lagu Kembali Mencari, Membara, Berkat Kasihmu, Di Luar Kemampuanku, Rondo Cinta Buta, Cintaku, Rhythm Si Jantung Hati, Kekasihku Di Menara dan Pahit Akan Manis Akhirnya.

Turut didendangkan Untuk Apa, Balada Ani, Seksa, Sesak, Kekasihku, Sebak, Gema kasih Sepanjang Usia, Terasa, Tergamak Kau, Bila Diri Disayangi, Nafas Orang Kota, Siapa Rampas Cintamu dan Prosarasa.

Akui Amir, proses memilih lagu yang hendak dipersembahkan cukup memeningkan kepala.

“Lagu U.K’s ini sering dianggap lagu ‘makan dalam’ atau ‘tangkap dalam’. Lagu cinta, putus cinta, ‘frust menonggeng’, ‘jiwang karat’, bermadu dan bercinta dengan dua orang serentak, semuanya sebati dengan peminat.

“Tidak dinafikan, lirik dendangan kami adalah apa yang dialami peminat,” katanya.

Antara momen yang diingati adalah ketika Amir menunjukkan sisi berbeza menyanyi secara ‘mixed falsetto’ ketika mendendangkan medley Satu Lilin Sehening Malam, Sudah Tiada Tunasnya dan Kita Akan Dijemput diiringi piano.

Melabuhkan tirai, lagu berhantu, Di Sana Menanti Di Sini Menunggu dipersembahkan. Sebaik habis didendangkan, penonton melaungkan ‘we want more’ dan dihadiahkan dengan lagu bonus, Benar-Benar Sungguh-Sungguh.

Konsert U.K’s Reunion 25 Tahun turut menyaksikan gabungan semula anggota asal band itu, Rozdenil Toni yang bermain gitar, Mohd Saleh Mohd Alias (bes) dan Amiruddin Sharif (dram).

Tayangan video temu bual bersama individu yang bertanggungjawab atas kejayaan U.K’s iaitu pengasasnya, Saari Amri, Datuk Aziz Bakar, Azam Dungun dan Lan Laga membuktikan apresiasi band itu terhadap mereka.

Kumpulan U.K’s turut dibantu Mohd Rafi Shafie dan Ahmad Firdaus Mahmud yang bertindak sebagai pengarah muzik serta Mus Satira sebagai gitaris undangan, selain kumpulan Mohram.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat