Cuma Hadiri Mesyuarat Kabinet, Zuraida Belum Bincang Dengan PM

KUALA LUMPUR- Datuk Zuraida Kamaruddin mengesahkan beliau masih belum bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi membincangkan mengenai kedudukannya dalam Kabinet.

Zuraida berkata, beliau hanya sempat bertemu dengan Perdana Menteri pagi tadi ketika mereka menghadiri Mesyuarat Kabinet yang diadakan di Bangunan Perdana Putra.

“Saya masih menunggu tarikh (untuk berjumpa dengan Perdana Menteri), jumpa tadi ketika Mesyuarat Kabinet dan tak bincang (tidak bincang mengenai isu berkenaan),” katanya memetik BH ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada Rabu.

Zuraida turut memaklumkan beliau akan ke Sabah bagi menghadiri Majlis Anugerah Industri Koko (AIKM) di Kota Kinabalu, malam ini.

Terdahulu, kereta yang membawa Zuraida dilihat memasuki perkarangan Perdana Putra jam 9.25 pagi tadi menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) berwarna hitam.

Khamis minggu lalu ketika ditanya pemberita, Ismail Sabri memaklumkan akan bertemu dengan Zuraida bagi membincangkan kedudukannya sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, sebelum mesyuarat berkenaan minggu ini.

Zuraida pada 26 Mei lalu dalam satu kenyataan media, mengumumkan peletakan jawatan sebagai menteri dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU. Beliau kemudian menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Dua hari lalu, Zuraida dilaporkan berharap dapat mengekalkan jawatannya dalam Kabinet untuk menyelesaikan segala program dan perancangan kementerian diterajuinya.

Bagaimanapun, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengulangi pendiriannya bahawa parti itu tidak akan berganjak kerana kuota yang diduduki Zuraida sebagai menteri adalah milik parti itu.