KUALA LUMPUR – Bagi melihat formula Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Perpaduan)ini diterima oleh rakyat khususnya orang Melayu, BN perlu bertanding sekurang-kurangnya satu kerusi DUN di setiap Parlimen yang mempunyai majoriti Melayu.
Ketua Pemuda Umno Kapar Affifi Aris berkata, dalam mesyuarat bahagian itu mereka sepakat mahu melihat Umno kembali bangkit menjadi parti pilihan utama orang Melayu.
Ujar beliau, ini bagi mengaktifkan jentera Umno-BN untuk berkempen meraih undi menarik sokongan orang Melayu terhadap formula Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersama dengan kerajaan campuran hari ini.
“Justeru, sebagai Ketua Umno Bahagian Kapar, mencadangkan agar Umno-BN bertanding satu kerusi DUN di bawah Parlimen Kapar dan perkara ini akan dibawa ke Mesyuarat Umno Bahagian agar disampaikan ke Perhubungan Umno Negeri.
“Saya juga telah meminta Naib Ketua Pemuda(Penyelaras Pemuda DUN Selat Klang) Abdul Rauf Kamarudin dan Bendahari Pemuda (Penyelaras Pemuda DUN Sementa) Muhammad Roslan Alazi, untuk mengaktifkan Jentera Pemuda di DUN-DUN yang berpotensi akan diwakili oleh calon UMNO-BN untuk digerakkan dalam posisi siap-siaga,” kata Affifi dalam kenyataan di Facebooknya pada Isnin.
Beliau mencadangkan idea berkenaan bersandarkan sejarah panjang BN, khususnya Umno yang bertanding majoriti kerusi Parlimen mahupun DUN dalam setiap pilihan raya umum.