Hutang 1MDB: Kerajaan Akan Bincang Dengan Putera Mahkota Abu Dhabi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Kerajaan akan meneruskan perbincangan bersama Putera Mahkota Abu Dhabi yang juga Pengerusi Majlis Eksekutif Abu Dhabi, Sheikh Khaled bin Mohamed bin Zayed Al Nahyan bagi mencari penyelesaian berkaitan isu hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata perbincangan lanjut itu diadakan bersempena lawatan khas empat hari Sheikh Khaled ke negara ini sehingga 24 Mei.

“Penyelesaian 1MDB dengan pihak International Petroleum Investment Company (IPIC) membabitkan hasil tambahan kepada negara AS$1.8 bilion (RM8.05 bilion) dan (semua tahu) putera mahkota hadir (ke negara ini) untuk meneruskan langkah perbincangan ini termasuk soal pelaburan,” katanya pada sesi soal jawab lisan pada hari pertama persidangan Dewan Rakyat pada Isnin, lapor BH.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Hamzah Zainuddin (PN-Larut) yang mahu mengetahui dasar-dasar baharu dan drastik yang sudah dilaksanakan sejak memimpin Malaysia bagi melonjakkan ekonomi negara, dengan mengambil kira risiko pengucupan ekonomi dunia.

Sheikh Khaled dijadual melakukan kunjungan hormat ke atas Anwar hari ini serta bertukar pandangan mengenai pelbagai isu berkepentingan bersama merangkumi hubungan dua hala, serantau dan antarabangsa semasa pertemuan itu.

Sebelum ini, dua firma pelaburan Abu Dhabi, (IPIC) dan Aabar Investments PJS (Aabar PJS) bersetuju membayar AS$1.8 bilion kepada Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) dan 1MDB.

Dalam pada itu, Anwar berkata, pelaburan diluluskan kerajaan bagi suku pertama 2023 adalah RM71.4 bilion iaitu peningkatan 60 peratus daripada suku pertama 2022 iaitu RM44.7 bilion.

Beliau juga berkata, perbelanjaan kerajaan bagi suku pertama tahun ini adalah RM93.3 bilion iaitu 24 peratus dari peruntukan tahunan dan 7.5 peratus lebih tinggi daripada suku pertama 2022 (RM86.7 bilion).

“Keyakinan kepada pengurusan ekonomi kerajaan terbukti dengan agensi penarafan kredit Fitch (Februari 2023) dan Moody’s (April 2023) mengekalkan penarafan kredit Malaysia.

“Ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan 5.6 peratus pada suku pertama 2023, lebih baik berbanding negara serantau seperti Indonesia (lima peratus), China (4.5 peratus) dan Vietnam (3.3 peratus).

“Pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.6 peratus bagi suku pertama tahun ini juga lebih kukuh daripada unjuran Bank Negara Malaysia (BNM) untuk 2023 antara empat hingga lima peratus.

“Sementara kadar pengangguran 3.5 peratus dicatat bagi suku pertama 2023, iaitu meneruskan trend penurunan daripada 3.6 peratus yang dicatat pada suku keempat 2022,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat