Pemakaian Pelitup Muka Mungkin Dilonggarkan Seawal Jun Ini – Pakar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Pemakaian pelitup muka disifatkan masih relevan dan prosedur operasi standard (SOP) itu masih wajar diwajibkan walaupun negara sudah memasuki fasa peralihan endemik.

Pakar Pengurusan Risiko Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Madya Dr Shamsul Bahari Shamsudin bagaimanapun menjangkakan tempoh pemakaian pelitup muka kemungkinan dilonggarkan selepas Hari Raya Aidilfitri, atau seawal Jun ini.

Jelas beliau, jangkaan tersebut bersandarkan kepada indikator risiko penularan jangkitan COVID-19 semasa dalam negara.

“Kalau kita dapat lihat jumlah kes harian menunjukkan penurunan yang signifikan bagi majoriti negeri-negeri di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

“(Penurunan kes) semuanya ke arah dua hingga tiga digit kecuali Selangor yang kita nampak masih lagi bertungkus-lumus di angka empat digit.

“Selain itu, peratus vaksinasi juga telah menghampiri 100 peratus, dan ini juga merupakan data yang amat baik untuk menyokong kelonggaran daripada pemakaian pelitup muka. Kalau dapat lihat program vaksinasi kanak-kanak juga amat baik.

“Cuma beberapa perkara seperti pengambilan dos penggalak nampaknya kurang menggalakkan dan juga varian-varian dan sub varian Omicron yang baharu seperti varian XE yang diumumkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),” katanya kepada Astro AWANI, di sini pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Shamsul Bahari berkata setakat ini Kementerian Kesihatan (KKM) telah pun memberikan sembilan kelonggaran pemakaian pelitup muka termasuk aktiviti sukan dan kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah.

Pun begitu jelas beliau, apa yang diharapkan oleh kebanyakan masyarakat adalah kebenaran secara penuh terhadap SOP tersebut.

Namun, keputusan untuk melonggarkan pemakaian pelitup muka, tegasnya tidak boleh dibuat dengan hanya membuat perbandingan dengan negara-negara lain.

“Saya dimaklumkan India telah menarik kembali kelonggaran pelitup muka akibat ada gelombang baharu jangkitan. Ini yang pihak KKM perlu pandang serius untuk tidak tergopoh-gapah dalam memberi satu-satu kelonggaran.

“Selain daripada pemakaian pelitup muka, perkara lain yang perlu juga untuk dipertimbangkan oleh KKM ialah imbasan kod QR… itu juga boleh disekalikan dengan pelitup muka sebagai satu kelonggaran. Seperti saya maklumkan tadi, kita ingin lihat setiap negeri sekurang-kurangnya mencapai dua atau tiga digit,” ujarnya. – Awani

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,598FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat