Geran Kandungan Digital bantu penggiat seni

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) menerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) kini melancarkan Geran Kandungan Digital (DCG) 2022 dan permohonannya dibuka sehingga 30 April ini.

Syarikat berminat boleh melayari laman sesawang https://mdec.my/DCG untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, berkata syarikat kandungan kreatif digital dengan modal berbayar minimum RM20,000 amat digalakkan untuk memohon.

“Mereka boleh memilih antara geran untuk kos pembangunan bernilai sehingga RM300,000 atau kos pemasaran dan pelesenan harta intelek (IP) sehingga RM500,000,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau berkata DCG, yang diperkenalkan sejak 2016 adalah inisiatif MDEC, menyasar untuk membantu pencipta kandungan digital di negara ini membangunkan kandungan baharu atau memasarkan serta melesenkan IP seperti kandungan animasi, media interaktif dan permainan digital.

“DCG antara siri geran terawal direka khas oleh MDEC untuk industri kandungan kreatif digital bagi 2022,” katanya.

Annuar berkata, industri kandungan kreatif sangat pantas berkembang dan menjadi tumpuan utama di bawah inisiatif MyDIGITAL, justeru K-KOMM komited memastikan industri terus mendapat sokongan diperlukan agar kekal kompetitif.

“Saya sedar persekitaran perniagaan amat mencabar ketika ini, khususnya kepada syarikat pemula niaga dan syarikat terjejas sebelum ini.

“Oleh itu, saya yakin inisiatif DCG mampu menjadi pemangkin kepada mereka untuk kekal kukuh dan lebih berdaya saing di pasaran tempatan dan global,” katanya.

Beliau berharap, syarikat menerima manfaat daripada DCG, mampu melakar sejarah dan pencapaian yang lebih baik berbanding sebelum ini.

“K-KOMM menerusi MDEC akan terus komited menyediakan pelbagai bantuan lain khususnya dalam membantu pertumbuhan ekosistem pembangunan kandungan digital negara,” katanya.

Katanya, MDEC meluluskan 55 projek bernilai lebih RM34.5 juta bagi membantu syarikat kandungan kreatif digital dalam membiayai idea pada peringkat pembangunan dan memastikan ia menjadi lebih mesra pelaburan dan kebolehpasaran sejak 2016.

Antara kandungan kreatif digital yang berjaya dicipta melalui inisiatif ini, termasuk siri Didi & Friends oleh DD Animation Sdn Bhd, Ejen Ali The Movie oleh Wau Animation Sdn Bhd, dan animasi Astrology oleh Lemon Sky Animation Sdn Bhd.

Sementara itu, filem animasi Ejen Ali The Movie mencatatkan rekod sebagai filem animasi tempatan paling laris dengan kutipan pawagam sebanyak RM35 juta. – BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat