Senai Airport City Dijangka Terima FDI RM250 Juta

- Advertisement -

SENAI – Senai Airport City Sdn Bhd (SACSB) menjangka menarik pelaburan langsung asing (FDI) baharu bernilai RM250 juta daripada tiga pelabur antarabangsa menjelang akhir tahun ini.

Pelabur antarabangsa yang terlibat dalam sektor elektrik dan elektronik bersedia memanfaatkan 40.47 hektar tanah dalam pembangunan perindustrian bersepadu yang dikenali sebagai Senai Airport City (SAC).

Ketua Pegawai Eksekutif SACSB Gan Seng Keong berkata syarikat tersebut hampir memuktamadkan perjanjian itu yang melibatkan dua syarikat dari Taiwan dan satu syarikat dari Jerman.

“Kami hanya menumpukan kepada industri bersih dan berteknologi tinggi di SAC dan membina ekosistem yang berkaitan untuk menarik lebih banyak pelabur ke Johor,” katanya dalam taklimat media di sini hari ini.

SACSB ialah anak syarikat milik penuh Senai Airport Terminal Services Sdn Bhd, yang kemudiannya anak syarikat milik penuh konglomerat utiliti dan infrastruktur MMC Corporation Bhd.

SAC yang merangkumi pembangunan seluas 1,099.94 hektar akan dibina mengikut lima fasa dan dijangka siap sepenuhnya pada 2025, dengan jumlah nilai pembangunan kasar RM5 bilion.

Gan berkata kebanyakan daripada industri bersih dan berteknologi tinggi adalah automatik, yang memerlukan lebih banyak buruh berkemahiran tinggi.

Oleh itu, syarikat menjangkakan penglibatan sebanyak 3000 tenaga buruh pada fasa pertama dengan 90 peratus daripadanya warga tempatan.

“Persaingan dengan Singapura sentiasa ada dari segi mendapatkan pekerja. Bagaimanapun, kehadiran lebih ramai pelabur asing ke Johor sewajarnya dapat mengimbangi cabaran membabitkan buruh tempatan untuk kekal dan bekerja dengan syarikat multinasional di Malaysia,” katanya.

Gan berkata fasa pertama yang berkeluasan 465.39 hektar telah dilengkapkan dengan platform dan infrastruktur, manakala 202.34 hektar lagi telah dibina dengan platform untuk fasa kedua dengan infrastruktur selainnya sedang disediakan.

“Setakat ini, SAC telah melabur sebanyak RM500 juta bagi kerja-kerja tanah dan infrastruktur asas untuk fasa pertama dan RM200 juta bagi fasa kedua,” katanya.

Gan berkata SACSB terus meningkatkan nilai pembangunan itu dan pada masa ini bercadang membina persimpangan bertingkat di sepanjang Lebuhraya Senai Desaru ke SAC, sebagai akses langsung daripada pembangunan SAC ke Pelabuhan Johor.

“Kami bercadang untuk memulakan pembinaan pada separuh kedua tahun ini dan akan siap menjelang akhir tahun depan,” katanya.

SAC terletak di Iskandar Malaysia dan mempunyai infrastruktur tersedia serta lokasi yang strategik bagi FDI di Malaysia.

Akses strategiknya ke pelabuhan utama seperti Pelabuhan Johor dan Pelabuhan Tanjung Pelepas serta Lapangan Terbang Antarabangsa Senai dan Lapangan Terbang Changi di Singapura, menyediakan logistik yang lancar melalui pengangkutan darat, laut dan udara ke bandar-bandar utama di seluruh dunia. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat