Anwar Gesa SPRM Telus Siasat Dakwaan Sogok Libatkan Menteri Kanan

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) lebih telus dalam menyiasat dakwaan terdapat sogokan dan ugutan yang melibatkan seorang ‘Menteri Kanan’.

Beliau berkata, ia merupakan kes spesifik berkaitan dakwaan seorang bekas menteri, yang mengatakan perlu lompat parti, atau berhadapan dengan tekanan siasatan berhubung rasuah.

Walaupun tidak menyebut sebarang nama, kenyataan Ahli Parlimen Port Dickson itu dipercayai berhubung bekas Menteri Air, Tanah, dan Sumber Asli Datuk Dr Xavier Jeyakumar yang telah meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR), dan menjadi Ahli Parlimen Bebas menyokong Kerajaan Perikatan Nasional.

“Ada kes khusus seorang mantan Menteri mengadu kepada saya, beliau diberi jaminan seorang Menteri Kanan jika lompat parti, beliau akan dibebaskan dari pada sebarang tindakan rasuah.

“Saya kata kalau kita benar-benar bersih dan tiada rasuah, kita tak harus bimbang. Tapi dalam kes ini seolah-olah keadaan terkawal dan siasatan diam terus,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki di Putrajaya, hari ini.

Anwar berkata, beliau telah menerima jaminan daripada Azam sendiri, bahawa status kes itu tidak pernah dihentikan, dan siasatan masih berjalan.

Selain itu, beliau turut menyuarakan pandangan seolah-olah siasatan agensi tertentu termasuk SPRM banyak tertumpu kepada Ahli-ahli Parlimen Pembangkang, hingga timbul persepsi ia digunakan Kerajaan untuk menarik lebih banyak sokongan secara paksa.

Terdahulu, Presiden PKR itu tiba di Bangunan SPRM kira-kira pukul 2.50 petang, dan pertemuan itu berlangsung kira-kira satu jam.

Anwar tiba di bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi mengadakan pertemuan dengan Mohd Azam.

Pertemuan itu adalah bagi menyampaikan rasa gelisah pihak Pembangkang susulan dakwaan agensi itu digunakan sebagai ‘senjata politik’ bagi menyekat pihak yang tidak sealiran dengan Kerajaan.

Dalam pada itu, Anwar turut menggesa SPRM untuk tidak mendiamkan diri mengenai dakwaan segelintir Ahli Parlimen di pihak Kerajaan, termasuk Menteri-menteri Kabinet yang dikatakan menerima wang hasil 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Saya tak puas hati kerana ada orang yang masih berkuasa, dilepaskan begitu. Malahan nampak mereka itu terlalu bebas and atasi hukum undang-undang di negara ini,” katanya lagi.

Bagaimanapun secara keseluruhan, Anwar berpuas hati dengan sikap terbuka dan sederhana yang ditunjukkan Azam dan pegawai-pegawai SPRM lain, selain komitmen agensi berkenaan unuk terus membanteras rasuah tanpa tekanan mana-mana pihak. – Awani

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat