Tarif 19% Malaysia – 10% Negara Lain , Rafizi Dakwa Malaysia Rugi Dalam Rundingan Tarif Dengan AS

Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, mempersoalkan kewajaran kerajaan menandatangani perjanjian berkaitan tarif perdagangan dengan Amerika Syarikat selepas keputusan mahkamah di negara itu yang mengisytiharkan tarif dikenakan sebelum ini sebagai tidak sah.

Dalam satu video yang dimuat naik di media sosial, Rafizi merujuk kepada keputusan Mahkamah Agung Amerika Syarikat yang menurutnya membatalkan tarif terdahulu yang diperkenalkan oleh Presiden Donald Trump terhadap import dari negara-negara lain.

Susulan itu, beliau mendakwa Trump telah mengumumkan kadar tarif baharu sebanyak 10 peratus ke atas semua barangan import.

Rafizi membandingkan kadar tersebut dengan tarif 19 peratus yang menurutnya perlu ditanggung Malaysia hasil rundingan yang dimeterai kerajaan, dan mempersoalkan sama ada rundingan itu dibuat secara tergesa-gesa.

“Susah payah yakinkan rakyat bahawa 19 peratus itu rundingan terbaik. Sekarang negara lain hanya bayar 10 peratus,” katanya.

Beliau turut membayangkan bahawa beberapa negara Asia Tenggara tidak perlu membuat sebarang komitmen tambahan, berbeza dengan Malaysia yang didakwa terpaksa merujuk beberapa keputusan kepada pihak Amerika Syarikat sebagai sebahagian daripada persetujuan rundingan.

Rafizi juga mempersoalkan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menurutnya sedang menyiasat beliau berhubung dakwaan rundingan tergesa-gesa melibatkan syarikat cip global Arm Holdings, tetapi tidak menyiasat perjanjian tarif yang ditandatangani kerajaan.

“Kalau nak siasat bagaimana perjanjian dibuat tergesa-gesa hingga merugikan negara, siasat PMX dan Zafrul,” katanya dalam nada sinis.

Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz, mahupun SPRM berhubung kenyataan terbaharu Rafizi itu.

Perkembangan ini dijangka terus menjadi perhatian dalam perbahasan isu perdagangan antarabangsa serta ketelusan rundingan melibatkan kepentingan negara.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat