KUALA LUMPUR, — Aktivis masyarakat, Tamim Dahari, mengeluarkan surat terbuka kepada Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, dengan mendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengambil tindakan menyekat platform media sosial miliknya serta menyiasat beliau tanpa pendakwaan sehingga kini.
Dalam surat terbuka tersebut, Tamim mempersoalkan sama ada Fahmi, yang sebelum ini dikenali sebagai pejuang kebebasan bersuara, masih berpegang kepada prinsip yang sama selepas dilantik sebagai Menteri Komunikasi yang bertanggungjawab ke atas MCMC.
Menurut beliau, beberapa platform media sosial yang dikaitkan dengannya telah dikenakan sekatan atau diturunkan kandungan, termasuk halaman “Tanah Malaya” dan kumpulan “Binaan Haram Di Mana”, yang didakwa diturunkan oleh Meta atas permintaan MCMC.
“Tahun ini pula, selepas saya ditahan polis tanpa apa-apa kesalahan, page Tanah Malaya disekat. Group Binaan Haram Di Mana juga diturunkan Meta atas permintaan MCMC. Akaun saya juga cuba dinyahaktifkan oleh Meta, mungkin atas permintaan MCMC,” katanya.
Tamim turut mendakwa bahawa beliau pernah ditahan oleh MCMC selama tiga hari sebelum Hari Raya tahun lalu, namun sehingga kini masih belum didakwa di mahkamah.
Beliau mempersoalkan asas tindakan tersebut dan menuntut penjelasan lanjut daripada pihak berkuasa berhubung dakwaan sekatan terhadap kebebasan bersuara.
“Semalam, hantaran saya juga diturunkan Meta atas permintaan MCMC. Apa kesalahan saya untuk bersuara menceritakan kezaliman yang berlaku? Bukankah itu kebebasan bersuara?” katanya lagi.
Dalam surat itu, Tamim juga menegaskan bahawa aktivisme beliau berkaitan isu rumah ibadat adalah berdasarkan dakwaan bahawa struktur tersebut dibina di atas tanah yang bukan milik pihak berkenaan, dan beliau mendakwa tindakannya adalah selaras dengan keputusan mahkamah serta mandat pihak berkuasa tempatan.
“Saya tidak lawan kuil sah. Saya menegakkan undang-undang sebagaimana yang telah diputuskan oleh mahkamah persekutuan dan arahan serta mandat PBT. Tetapi, saya yang ditangkap dan dilokap. Penceroboh tidak dikenakan apa-apa tindakan,” katanya.
Beliau turut mencabar Fahmi untuk menyatakan secara terbuka pendirian kementerian dan MCMC berhubung tindakan terhadap beliau, termasuk sama ada terdapat arahan khusus untuk mengambil tindakan terhadap akaun media sosialnya.
Tamim juga mempersoalkan mengapa beliau masih belum didakwa sekiranya benar terdapat kes terhadapnya, dan mencadangkan supaya MCMC meneruskan pendakwaan agar perkara tersebut dapat diputuskan di mahkamah.
Surat terbuka itu disifatkan sebagai teguran beliau sebagai seorang rakyat terhadap tindakan yang didakwanya sebagai tidak adil serta bercanggah dengan prinsip kebebasan bersuara.



