KUALA LUMPUR, — Seramai 19 Ahli Parlimen yang diketuai Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, menyatakan sokongan penuh kepada Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar susulan pelantikannya sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang baharu.
Dalam satu kenyataan media bersama, kumpulan Ahli Parlimen tersebut merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Ahmad Samsuri dan menyifatkan pelantikan itu sebagai satu langkah konsolidasi penting bagi mengukuhkan kedudukan PN sebagai gabungan politik yang bersedia memimpin negara.
“Kami merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada YAB Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar atas pelantikannya sebagai Pengerusi Perikatan Nasional yang baharu, dan kami memberikan sokongan penuh untuk beliau memimpin gabungan ini,” menurut kenyataan itu.
Mereka turut menegaskan bahawa pelantikan Ahmad Samsuri mencerminkan kesungguhan PN untuk terus berkhidmat kepada rakyat serta memperkukuh struktur kepimpinan gabungan berkenaan dalam menghadapi cabaran politik semasa.
Menurut kenyataan itu lagi, kesemua Ahli Parlimen berkenaan akan terus berdiri teguh bersama Perikatan Nasional yang kini dipimpin oleh PAS sebagai parti tunjang gabungan tersebut.
“Sebagai Ahli Parlimen, kami terus menyokong Perikatan Nasional yang dipimpin oleh PAS selaku parti tunjangnya,” kata mereka.
Kenyataan bersama itu dilihat sebagai isyarat jelas bahawa kepimpinan Ahmad Samsuri mendapat sokongan kukuh daripada blok Ahli Parlimen yang rapat dengan Hamzah, sekali gus memperkukuh kedudukan beliau dalam struktur kepimpinan tertinggi PN.
Selain Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut, kenyataan itu turut ditandatangani oleh beberapa tokoh kanan PN termasuk Datuk Seri Ronald Kiandee (Beluran), Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah), Datuk Seri Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), dan Datuk Wan Saiful Wan Jan (Tasek Gelugor).
Turut menyatakan sokongan ialah Datuk Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah), Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Datuk Wira Ku Abd Rahman Ku Ismail (Kubang Pasu), Datuk Muslimin Yahaya (Sungai Besar), dan Datuk Abdul Khalid Abdullah (Rompin).
Senarai itu juga merangkumi Datuk Khlir Mohd Nor (Ketereh), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Machang), Zakri Hassan (Kangar), Roslan Hashim (Kulim Bandar Baharu), Fathul Huzir Ayob (Gerik), Kapten Azahari Hassan (Padang Rengas), Komander (B) Nordin Ahmad Ismail (Lumut), Kalam Salam (Sabak Bernam), dan Islahuddin Abbas (Mersing).



