Majlis Sinar Gemersik Ramadan: Iftar Jamai’e Bersama Khai Bahar anjuran Persatuan Mahasiswa Fakulti Sains dan Teknologi UKM (PMFST), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama KhaiBahar Empire (KBE) telah berlangsung dengan penuh meriah di Bilik Bankuasi, Bangunan Canselori UKM. Penganjuran program ini sekali gus menyemarakkan semangat kebersamaan dan keprihatinan sempena bulan Ramadan yang mulia.
Program ini diadakan bertujuan meraikan para pelajar yang sedang menuntut di UKM, khususnya pelajar kurang berkemampuan, di samping mengeratkan hubungan silaturahim antara mahasiswa, pihak universiti serta rakan strategik industri. Majlis iftar jamai’e ini turut diserikan dengan kehadiran artis popular tanah air, Khai Bahar, yang menjadi tarikan utama kepada para pelajar dan memeriahkan lagi suasana majlis.
Berbeza dengan kebiasaan program kebajikan yang memberi tumpuan kepada anak-anak yatim, edisi kali ini memberi keutamaan kepada pelajar UKM yang kurang berkemampuan. Seramai 30 orang pelajar telah dipilih sebagai penerima manfaat dalam inisiatif Ramadan ini.
Mereka menerima tajaan berbuka puasa, sumbangan wang tunai, serta bag barangan asas yang mengandungi keperluan harian. Sumbangan ini diperoleh melalui kerjasama penaja bersama KhaiBahar Empire sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Ramadan. Pemberian ini bukan sahaja membantu meringankan beban kewangan pelajar, malah memberi mereka peluang menikmati suasana berbuka puasa secara berjemaah dalam suasana yang lebih bermakna.
Majlis dimulakan dengan sesi tazkirah ringkas sebagai pengisian rohani, mengingatkan hadirin tentang kepentingan kesyukuran, kebersamaan dan kepedulian terhadap golongan memerlukan. Seterusnya, hadirin menikmati juadah berbuka puasa secara jamai’e dalam suasana penuh harmoni.
Acara turut diserikan dengan persembahan nyanyian oleh Khai Bahar, yang menghiburkan para pelajar dan tetamu jemputan. Selain itu, sesi bergambar bersama artis jemputan menjadi antara momen paling dinantikan, meninggalkan kenangan manis buat semua yang hadir.

Lebih bermakna, Khai Bahar turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada pelajar-pelajar terpilih sebagai tanda keprihatinan dan sokongan terhadap kebajikan mahasiswa.
Pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Prof. Ts. Chm. Dr. Rizafizah Othaman, Timbalan Dekan Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, Fakulti Sains dan Teknologi UKM, atas sokongan dan kesudian menerima inisiatif KhaiBahar Empire dalam menjayakan Program CSR Ramadan KBE tahun ini.
Penghargaan turut diberikan kepada seluruh barisan penaja, rakan strategik KhaiBahar Empire, rakan media dan wartawan, serta barisan jawatankuasa yang bertungkus-lumus memastikan kelancaran majlis. Antara penaja yang berbesar hati menyokong program ini ialah Nongshim dan Coco Cado, di mana Khai Bahar juga merupakan duta bagi kedua-dua jenama tersebut untuk tahun kedua berturut-turut.

Di sebalik komitmennya dalam aktiviti kebajikan, Khai Bahar terus aktif dalam bidang seni dan perniagaan. Beliau bakal melancarkan lagu baharu berjudul “Aku Rindu” dalam masa terdekat serta terlibat dalam projek drama yang dijangka memulakan penggambaran selepas Aidilfitri. Selain itu, beliau turut giat mengembangkan perniagaan minyak wanginya dan menyertai festival di Kuala Lumpur, Brunei dan Singapura.
Komitmen beliau dalam menjayakan program CSR seperti ini membuktikan bahawa kejayaan dalam kerjaya boleh berjalan seiring dengan tanggungjawab sosial terhadap masyarakat.
Majlis Sinar Gemersik Ramadan bukan sekadar acara berbuka puasa, tetapi platform untuk menyemai nilai murni dalam kalangan mahasiswa. Ia memperkukuhkan hubungan antara komuniti kampus dan rakan industri, di samping memupuk semangat kebersamaan dan empati sepanjang Ramadan.
Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai wadah memperkasa kebajikan mahasiswa serta membina komuniti yang lebih prihatin dan saling menyokong. Ramadan bukan sahaja tentang menahan lapar dan dahaga, tetapi tentang berkongsi rezeki, mengeratkan silaturahim dan menyebarkan sinar kebaikan kepada semua.



