Oleh Zihan Zari
ALOR SETAR – Seramai 30 pelajar dari Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) berganding bahu bersama Masjid Al-Ummah, menganjurkan Program Santuni Masyarakat – Memperkukuh Keharmonian dan Perpaduan Kaum sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2026, di Teluk Chengai, dekat sini baru-baru ini.
Program ini menyaksikan para pelajar turun padang mengunjungi beberapa taman perumahan sekitar kariah Masjid Al-Ummah, mengedar buah limau tajaan dari Masjid Al-Ummah sebagai menghormati masyarakat
Tionghua (Cina) yang menyambut Tahun Baharu Cina.
POLIMAS dalam kenyataan berkata pendekatan yang diambil bersifat mesra komuniti untuk memberi pendedahan kepada pelajar dengan menekankan nilai hormat-menghormati, toleransi serta semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.
“Inisiatif ini digerakkan oleh pelajar kelas Diploma Kejuruteraan Mekatronik, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan pelajar Diploma Ukur Bahan, Jabatan Kejuruteraan Awam yang mengikuti kursus Penghayatan Etika dan Peradaban,”kata kenyataan itu.
Program tersebut dilaksanakan di bawah bimbingan pensyarah Jabatan Pengajian Am POLIMAS, Ustaz Mohd Nazimi Zaim Hj. Ismail, yang turut bertindak sebagai penasihat pelajar.
Mohd Nazimi Zaim berkata, penglibatan pelajar dalam aktiviti kemasyarakatan seperti ini menjadi platform terbaik untuk menterjemahkan teori penghayatan etika dan peradaban kepada amalan sebenar dalam kehidupan bermasyarakat.
Beliau menjelaskan program ini bukan sekadar lawatan biasa, sebaliknya satu proses pembelajaran secara langsung yang membentuk nilai empati, tanggungjawab sosial serta kefahaman mendalam terhadap realiti masyarakat majmuk di Malaysia.
Sementara itu, Setiausaha Masjid Al-Ummah, Telok Chengai, Hj. Wan Nordin Wan Daud, merakamkan penghargaan kepada pihak POLIMAS, pensyarah serta para pelajar atas komitmen yang ditunjukkan.
Beliau menegaskan bahawa program seumpama ini selari dengan peranan masjid sebagai institusi yang menyantuni masyarakat tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.
“Masjid bukan sekadar tempat ibadah, malah pusat penyatuan ummah dan masyarakat. Program seperti ini sangat signifikan dalam memperkukuh keharmonian sosial di peringkat akar umbi,” ujarnya.
Wakil pelajar, Muhammad Afiq Mohd Haizul, menyifatkan pengalaman tersebut sebagai amat bermakna dan membuka perspektif baharu kepada peserta.
“Interaksi secara langsung dengan masyarakat pelbagai kaum memberi kami peluang memahami budaya dan cara hidup komuniti dengan lebih dekat. Ia sekali gus memupuk semangat kesukarelawanan dan mengukuhkan nilai perpaduan dalam kalangan generasi muda,” katanya.
Tambah kenyataan itu, keseluruhan penganjuran program ini berjaya mempererat hubungan silaturahim antara institusi pendidikan dan komuniti setempat, di samping menyemai nilai saling menghormati serta memperkukuh semangat perpaduan nasional.
“Usaha murni ini diharap dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai langkah berterusan dalam membina masyarakat Malaysia yang bersatu, harmoni dan saling memahami sejajar dengan aspirasi negara untuk terus mengekalkan keamanan dalam kepelbagaian,”tambahnya lagi. -SUARA.TV



