KKDW Komited Bina Rumah Untuk Rakyat Miskin – Datuk Mohd Razlan

- Advertisement -

Cyberjaya – Kerajaan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) komited untuk membantu rakyat miskin memiliki rumah melalui program perumahan rakyat, dengan sasaran lebih 1,800 unit rumah baru dibina tahun ini, kata Setiausaha Politik Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Mohd Razlan Bin Muhammad Rafii.

Beliau berkata demikian dalam satu sesi bersama media selepas penyerahan enam unit rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRS) yang telah siap dibina di Parlimen Kuala Kedah.

“Saya melawat enam biji rumah ini, saya melihat semua sudah siap lengkap dan ada yang telah diduduki. Dan kita rasa berbangga sebab kontraktor yang kita lantik pun dapat menyiapkan rumah-rumah ini dengan cepat,” katanya.

Menurutnya, kerajaan telah memperkenalkan inisiatif baru di bawah program Perumahan Rakyat Sejahtera, di mana harga rumah baharu yang dibina ditetapkan pada RM79,000 di Semenanjung Malaysia dan RM89,000 di Sabah dan Sarawak.

Permohonan Tinggi di Kelantan & Sabah

Datuk Razlan turut mendedahkan bahawa permohonan untuk rumah PPRS paling tinggi diterima dari negeri Kelantan dan Sabah.

“Permohonan tertinggi adalah Kelantan. Kelantan dan Sabah. Jadi, mereka memang ramai yang memohon dan juga bajet kita agihkan kepada mereka juga yang terbanyak,” jelasnya.

Menurut beliau, faktor utama permohonan tinggi di Kelantan adalah disebabkan oleh tahap pembangunan yang masih mundur di negeri tersebut. Justeru, kerajaan pusat memperuntukkan bajet khas untuk membina rumah bagi rakyat yang memerlukan.

Di Kedah pula, lebih 1,000 permohonan telah diterima, namun kerajaan hanya mampu menyelesaikan sekitar 150 permohonan setiap tahun.

Walaupun kerajaan telah menyediakan dana, masalah utama yang menghalang pelaksanaan program perumahan rakyat adalah isu pemilikan tanah.

“Kalau kerajaan negeri tak bekerjasama untuk memberikan tanah jadi kita pun susah nak bantu,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa terdapat banyak tanah di Kelantan yang diduduki penduduk adalah tanah setinggan tanpa geran rasmi.

“Kalau kerajaan negeri dapat bekerjasama dengan kerajaan pusat, masalah ini dapat diselesaikan dan rumah boleh dibina dengan segera,” ujarnya.

Datuk Razlan turut menegaskan bahawa bantuan rumah kepada rakyat miskin harus diberikan tanpa mengira fahaman politik.

“Jangan tengok warna. Jangan melihat warna. Apa saja warna yang kita bawa, kalau kita ini nak menyelesaikan masalah kemiskinan ini, kita kena tolong rakyat kita tanpa melihat warna,” tegasnya.

Beliau berharap kerajaan negeri dapat memberi kerjasama sepenuhnya bagi memastikan rakyat miskin tidak terus terpinggir dan dapat memiliki rumah yang lebih selesa.

author avatar
Azie Saharuddin
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat